‘Wujudkan Segera Jabatan Keselamatan Empangan’

​KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mempertimbangkan penubuhan segera Jabatan Keselamatan Empangan yang khusus bagi memperkukuh aspek pemantauan, penguatkuasaan serta kesiapsiagaan berdepan sebarang risiko kegagalan struktur empangan di negara ini.

​Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tragedi banjir puing yang melanda Nepal baru-baru ini serta beberapa kejadian kegagalan infrastruktur air di negara lain perlu dijadikan peringatan utama buat Malaysia.

​Menurut beliau, kejadian di Nepal yang berpunca daripada keruntuhan glasier dan aliran puing membuktikan bahawa perubahan persekitaran serta kejadian cuaca ekstrem boleh berlaku secara pantas dan membawa kesan dahsyat.

​”Malaysia tidak harus menunggu sehingga berlakunya tragedi banjir besar seperti di Nepal. Keselamatan empangan negara perlu diperkukuhkan dan diberi perhatian secara dekat.

​”Walaupun kerajaan mempunyai pasukan Flying Squad dan berhasrat menubuhkan Dam Technical Centre (DTC), saya berpandangan sudah tiba masanya kita melangkah lebih jauh dengan mempertimbangkan penubuhan sebuah Jabatan Keselamatan Empangan yang khusus,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

​Tuan Ibrahim menegaskan, jabatan berkenaan perlu dilengkapi dengan bidang kuasa, kepakaran, tenaga kerja serta peruntukan kewangan yang mencukupi.

​Jelas beliau, isu keselamatan empangan tidak boleh bergantung semata-mata kepada mekanisme ad-hoc kerana sebarang kegagalan struktur mampu mengancam nyawa, harta benda, alam sekitar dan infrastruktur negara.

​Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa keperluan itu semakin mendesak memandangkan sesetengah empangan di Malaysia sudah mencapai usia yang agak tua.

​”Empangan Chenderoh di Perak misalnya telah beroperasi sejak tahun 1930 dan merupakan empangan hidroelektrik tertua yang masih beroperasi di Malaysia.

​”Meskipun kita mempunyai Garis Panduan Pengurusan Keselamatan Empangan Malaysia (MyDAMS) sejak 2017, apa yang diperlukan sekarang ialah pengukuhan pelaksanaan dan penguatkuasaan secara lebih bersepadu berdepan cabaran perubahan iklim,” ujarnya.

​Beliau turut menggesa agar status keselamatan empangan dimaklumkan kepada umum secara berkala berdasarkan penilaian pihak berkuasa dan pakar berautoriti bagi mengelakkan spekulasi.

​”Ketelusan maklumat penting untuk membina keyakinan masyarakat, di samping mengelakkan penyebaran atau manipulasi maklumat tidak tepat yang boleh menimbulkan keresahan serta kepanikan,” katanya.

​Dalam kenyataan sama, Tuan Ibrahim turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh mangsa dan keluarga yang terjejas akibat tragedi banjir besar di Nepal, sambil menggesa Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan pencegahan awal demi keselamatan rakyat.

BBerkaitan

Latest articles