Ahmad Maslan Enggan Layan Desakan Lepas Jawatan

KUALA LUMPUR: Desakan supaya beliau berundur susulan kontroversi pantun di Dewan Rakyat tidak mengubah pendirian Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan yang menegaskan beliau tidak akan melepaskan jawatan disandangnya.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, kedudukannya dalam kerajaan adalah hasil sokongan UMNO dan Barisan Nasional (BN), justeru beliau tidak melihat sebarang keperluan untuk berundur hanya kerana insiden berkenaan.

Malah, katanya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga tidak pernah mengarahkan beliau meletakkan jawatan.

“Presiden UMNO kata, tidak ada hal dengan perkara itu. Ini politik sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas Majlis Kesiapsiagaan Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) JKR menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR), hari ini.

Kontroversi itu tercetus apabila Ahmad menyelitkan pantun berunsur sindiran ketika menjawab celahan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) mengenai isu penghapusan tol pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Tindakan itu mengundang bantahan selepas beliau menggunakan perkataan ‘kencing’ dalam pantun berkenaan sebelum diarahkan menarik balik perkataan tersebut.

Susulan itu, beberapa Ahli Parlimen PH menggesa Ahmad meletakkan jawatan sekiranya tidak lagi sependapat dengan Kerajaan Perpaduan.

Antara yang menyuarakan desakan itu ialah Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson), Aminolhuda Hassan (Sri Gading), Khoo Poay Tiong (Kota Melaka) dan Mohd Sany Hamzan (Hulu Langat).

Ahmad berkata, beliau sudah menarik balik perkataan berkenaan, namun tindakan itu tidak menghalang pihak terbabit daripada mengadakan sidang media berhubung isu tersebut.

Beliau turut mendakwa PH berkemungkinan masih kecewa dengan kekalahan empat kali berturut-turut dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

BBerkaitan

Latest articles