Istana Tetapkan Jumaat Ini Untuk Ismail Mengadap Tuanku Muhriz

SEREMBAN: Datuk Ismail Lasim dijadual menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, pada Jumaat ini bagi mempersembahkan perkara berkaitan kedudukan dan perkembangan pentadbiran kerajaan negeri.

Pengelola Bijaya Diraja dalam kenyataan memaklumkan, perkenan untuk Ismail menghadap pada jam 10 pagi, 20 November ini sudah disampaikan menerusi WhatsApp oleh Setiausaha Sulit kepada beliau pada jam 8.38 malam.

Menurut kenyataan itu, perkenan berkenaan diberikan 80 minit sebelum Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, mengumumkan peletakan jawatan Ismail sebagai Menteri Besar di Facebook.

Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan menegaskan belum mengesahkan ketulenan surat peletakan jawatan yang dikatakan sudah dihantar kepada Tuanku Muhriz.

Istana turut menjelaskan, berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar.

Terdahulu, Ismail memaklumkan permohonan menghadap dibuat bagi mempersembahkan cadangan kerajaan negeri untuk mengadakan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan 2027 pada 26 November ini.

BBerkaitan

Latest articles