Wawasan Negara Sokong BN Terus Terajui Kerajaan Negeri Sembilan – Chegubard

SEREMBAN: Wawasan Negara Negeri Sembilan menyatakan sokongan supaya Barisan Nasional (BN) terus menerajui kerajaan negeri itu susulan peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Wawasan Negara Negeri Sembilan, Chegubard berkata, pihaknya turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Ismail atas khidmat serta sumbangan beliau sepanjang memegang jawatan berkenaan.

Menurutnya, sebagai komponen Perikatan Nasional (PN) yang bersama-sama membentuk kerajaan negeri, Wawasan Negara menyokong BN untuk terus mendapat mandat menerajui pentadbiran negeri serta mengemukakan calon Menteri Besar yang bersesuaian.

“Kami menyatakan sokongan supaya Barisan Nasional terus mendapat mandat menerajui kerajaan bersama ini dan mengajukan calon Menteri Besar yang sesuai.

“Moga pelantikan Menteri Besar baharu ini menjadi pintu penyelesaian kepada krisis yang berlarutan di Negeri Sembilan,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, pentadbiran kerajaan gabungan BN dan PN yang memperoleh mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu perlu diteruskan dengan baik demi kepentingan rakyat.

Katanya, mandat demokrasi yang diberikan rakyat perlu dihormati dan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab oleh semua pihak.

Dalam pada itu, Che GuBard berharap pelantikan Menteri Besar baharu menjadi permulaan kepada pembentukan gabungan yang lebih jujur serta mengutamakan semangat musyawarah dan keadilan.

“Insya-ALLAH, PN Negeri Sembilan juga akan menyelesaikan isu kepimpinan dan organisasi PN negeri dalam masa terdekat supaya dapat diwujudkan Majlis BN dan PN Negeri Sembilan.

“Majlis itu boleh menjadi medan untuk mengukuhkan gabungan serta kerjasama dalam pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.

Terdahulu, Ismail mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, sekali gus mencetuskan perkembangan baharu dalam landskap politik negeri itu.

BBerkaitan

Latest articles