JAKARTA: Polis Indonesia menemui rak server yang kosong dan tidak pernah digunakan ketika menyerbu pejabat PT Megaspeed International Indonesia, anak syarikat firma pengkomputeran awan berpangkalan di Singapura, Megaspeed International.
Serbuan yang dilakukan awal tahun ini merupakan sebahagian daripada siasatan susulan permintaan Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) bagi mengesan pergerakan cip kecerdasan buatan (AI) keluaran Nvidia yang dibeli oleh syarikat berkenaan.
Laporan The Straits Times pada Isnin memetik seorang pegawai kanan kerajaan Indonesia sebagai berkata, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Polis Negara Indonesia (Bareskrim) menemui rak server di premis berkenaan, namun tidak menemui sebarang unit pemprosesan grafik (GPU).
Menurut sumber itu, rak berkenaan juga kelihatan belum pernah dibuka atau digunakan, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada cip Nvidia yang dibeli syarikat itu pernah dipasang di kemudahan berkenaan.
Pegawai berkenaan turut mendakwa kebanyakan perkakasan Nvidia yang dibeli entiti Megaspeed dipercayai dibawa masuk ke Indonesia sebelum dihantar semula ke China.
Penyiasat juga dipercayai sedang meneliti kemungkinan perkakasan berkenaan dipindahkan menggunakan pesawat peribadi.
Bagaimanapun, dakwaan mengenai penghantaran semula cip ke China itu belum disahkan secara rasmi oleh pihak berkuasa Indonesia.
The Straits Times turut melaporkan, semakan terhadap alamat berdaftar PT Megaspeed International Indonesia di bangunan Cyber 1, Jakarta Selatan mendapati syarikat itu tidak disenaraikan sebagai penyewa di premis berkenaan.
Sebaliknya, seorang kakitangan bangunan memaklumkan syarikat itu beroperasi menggunakan pejabat milik PT MettaDC Teknologi Indonesia, penyedia infrastruktur pusat data di negara itu.
Seorang wakil MettaDC turut mengesahkan kepada akhbar berkenaan bahawa Megaspeed menggunakan ruang pejabat syarikatnya selain menyewa ruang di kawasan perindustrian Jababeka, Cikarang, Jawa Barat.
Sementara itu, rekod penghantaran yang disemak Reuters melalui penyedia data perdagangan ImportGenius menunjukkan anak syarikat Megaspeed di Indonesia mengimport perkakasan Nvidia antara 2024 hingga 2026, termasuk pemproses H100 dan komponen berkaitan.
Antara pembekal yang dikenal pasti ialah Giga Computing, anak syarikat pengeluar perkakasan komputer Taiwan, Gigabyte.
Kes berkenaan turut mendapat perhatian pihak berkuasa Amerika Syarikat yang bimbang cip AI berteknologi tinggi keluaran negara itu disalurkan kepada syarikat China bagi mengelakkan sekatan eksport.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Dalam Negeri Singapura mengesahkan Biro Industri dan Keselamatan (BIS) Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat menjalankan pemeriksaan pengesahan penghantaran di premis Megaspeed di Singapura pada Jun 2025.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada keputusan rasmi yang membuktikan Megaspeed melanggar peraturan kawalan eksport Amerika Syarikat.
Siasatan itu dijangka meningkatkan penelitian terhadap rantaian bekalan cip AI di Asia Tenggara, termasuk Malaysia, Indonesia dan Singapura, ketika negara rantau ini giat menarik pelaburan dalam pembangunan pusat data serta infrastruktur AI.










