Jalaluddin Alias Disebut-sebut Bakal Jadi MB Negeri Sembilan Baharu?

JELEBU: Nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias, semakin hangat diperkatakan sebagai calon Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu bagi menggantikan Datuk Ismail Lasim yang meletakkan jawatan semalam.

Desas-desus mengenai kemungkinan pelantikan Jalaluddin itu bertiup kencang sejak dua minggu lalu, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa kemelut politik dan pentadbiran negeri yang berlarutan sejak Ogos lalu bakal menemui noktah.

Spekulasi itu turut dikaitkan dengan dakwaan bahawa Jalaluddin, yang juga Ahli Parlimen Jelebu, pernah dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada 9 Oktober lalu.

Pertemuan berkenaan bagaimanapun tidak disusuli sebarang pengumuman rasmi, sekali gus mengundang pelbagai tanda tanya mengenai kedudukan sebenar beliau dalam perkembangan politik negeri itu.

Malah, khabar angin turut bertiup bahawa istiadat mengangkat sumpah Menteri Besar yang baharu dijangka berlangsung esok atau Khamis ini.

Ketika dihubungi bagi mendapatkan pengesahan mengenai spekulasi berkenaan, Jalaluddin bagaimanapun tidak memberikan penjelasan lanjut.

Beliau hanya menjawab ringkas: “Insya-Allah.”

Setakat ini, belum ada sebarang pengumuman rasmi berhubung calon yang bakal mengisi jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan itu.

BBerkaitan

Latest articles