133,400 Pelarian Rohingya Berdaftar Di Malaysia

KUALA LUMPUR: Seramai 133,400 etnik Rohingya telah didaftarkan sebagai pelarian dan pemohon suaka di Malaysia berdasarkan rekod Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sehingga 30 September lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pula merekodkan seramai 6,294 etnik Rohingya berada dalam tahanan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) seluruh negara sehingga 31 Oktober 2026.

Beliau berkata, jumlah tahanan Rohingya itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan 11,208 tahanan warga Myanmar yang berada di depot berkenaan.

“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, berdasarkan rekod UNHCR sehingga 30 September 2026, seramai 133,400 orang etnik Rohingya telah didaftarkan sebagai pelarian dan pemohon suaka di Malaysia.

“Sementara itu, berdasarkan rekod JIM sehingga 31 Oktober 2026, seramai 6,294 orang etnik Rohingya direkodkan berada dalam tahanan di DTI seluruh negara,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (Kepong) yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan jumlah terkini pelarian Rohingya di Malaysia, bilangan yang dihantar pulang ke Myanmar tahun ini, kaedah kemasukan mereka serta agensi kerajaan yang bertanggungjawab terhadap kelemahan kawalan sehingga membolehkan kemasukan tersebut.

Mengulas mengenai penghantaran pulang, Saifuddin berkata, seramai 12,176 warga Myanmar telah dihantar pulang ke negara asal sepanjang tahun ini sehingga 31 Oktober 2026.

Daripada jumlah itu, seramai 1,476 tahanan warga Myanmar dihantar pulang pada 29 September lalu menerusi operasi berskala besar menggunakan kapal Tentera Laut Myanmar.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan angka berkenaan tidak merujuk secara khusus kepada jumlah etnik Rohingya yang dihantar pulang kerana rekod tersebut berdasarkan kewarganegaraan yang disahkan negara asal dan bukannya etnik.

“Pelaksanaan penghantaran pulang warga asing, khususnya mereka yang tidak memiliki dokumen perjalanan atau dokumen pengenalan diri yang sah, memerlukan kerjasama negara asal bagi melaksanakan proses pengenalpastian, pengesahan kewarganegaraan serta pengeluaran dokumen perjalanan yang diperlukan,” katanya.

Menurutnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Luar Negeri (KLN) bagi melaksanakan rundingan serta penyelarasan dengan Kerajaan Myanmar.

Kerjasama itu khususnya bagi mempercepat proses pengesahan kewarganegaraan, penyediaan dokumen perjalanan dan penerimaan semula warga Myanmar oleh negara asal.

Dalam pada itu, beliau berkata, antara modus operandi kemasukan etnik Rohingya ke Malaysia yang dikenal pasti adalah melalui laluan darat dan laut yang tidak diwartakan sebagai pintu masuk rasmi negara.

Katanya, pergerakan berkenaan turut melibatkan rangkaian sindiket penyeludupan migran peringkat serantau yang mengatur perjalanan merentas sempadan dari Myanmar atau Bangladesh, termasuk melalui negara transit sebelum memasuki Malaysia.

“Walau bagaimanapun, laluan dan kaedah kemasukan seseorang individu hanya dapat dipastikan melalui siasatan serta semakan rekod oleh pihak berkuasa,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa kawalan sempadan negara dilaksanakan menerusi kerjasama pelbagai agensi keselamatan dan penguatkuasaan berdasarkan bidang kuasa serta kawasan tanggungjawab masing-masing.

BBerkaitan

Latest articles