Istana Belum Sahkan Surat Peletakan Jawatan MB Negeri Sembilan

SEREMBAN: Istana Negeri Sembilan belum mengesahkan kesahihan surat peletakan jawatan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, susulan dakwaan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bahawa pemimpin itu telah melepaskan jawatannya.

Pengelola Bijaya Diraja menerusi kenyataan akhbar pada Selasa memaklumkan, pihak istana mengambil maklum kenyataan Zambry berhubung peletakan jawatan Ismail yang disiarkan di media sosial pada jam 10 malam, 16 November lalu.

Menurut kenyataan itu, Zambry membuat pengumuman berkenaan berdasarkan salinan surat peletakan jawatan yang berada dalam milikannya.

Bagaimanapun, pihak istana menjelaskan bahawa berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, sebarang peletakan jawatan Menteri Besar perlu dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan baginda.

“Surat peletakan jawatan tersebut telah dihantar ke Istana Hinggap, Seremban, pada pukul 12.16 pagi, 17 November,” menurut kenyataan itu.

Surat berkenaan diserahkan oleh seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai Hamidi daripada firma guaman Shahrul Hamidi & Haziq.

Istana turut memaklumkan bahawa Setiausaha Sulit telah menyampaikan kepada Ismail menerusi WhatsApp pada jam 8.38 malam bahawa permohonan beliau untuk menghadap Yang di-Pertuan Besar telah diperkenankan.

Mengikut kenyataan itu, Ismail telah mengakui menerima makluman berkenaan, manakala sesi menghadap ditetapkan pada jam 10 pagi, Jumaat, 20 November ini.

“Perkenan menghadap tersebut telah diberikan lebih awal 80 minit sebelum siaran YB Dato’ Seri Zambry di akaun Facebook beliau yang memaklumkan peletakan jawatan itu,” menurut kenyataan berkenaan.

Istana turut menegaskan bahawa pihaknya masih belum mengesahkan ketulenan surat berkenaan yang menurut Zambry telah ditandatangani Ismail.

Istana menjelaskan, surat berkenaan hanya akan berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Kemelut politik Negeri Sembilan berakar daripada pertikaian institusi diraja yang berlarutan sejak April lalu.

Ismail yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar ke-10 pada 2 Ogos lalu, mencetuskan kontroversi apabila menandatangani satu proklamasi berkaitan penyingkiran Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar pada 3 Ogos.

Beliau kemudian mendakwa menandatangani dokumen itu dalam keadaan terpaksa dan membuat laporan polis, sebelum bersama barisan Exco mengesahkan kesahihan proklamasi berkenaan serta menyokong tuntutan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai pemerintah negeri.

Susulan perkembangan itu, Tuanku Muhriz memecat kesemua 10 anggota Exco negeri, manakala Ismail kemudian menarik balik sokongannya terhadap tuntutan berkenaan.

Pada 10 November lalu, Ismail bersama 10 bekas Exco turut menarik balik surat bertarikh 17 September yang dikemukakan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berhubung kedudukan Tuanku Muhriz.

Ismail sebelum ini dilantik sebagai Menteri Besar selepas Barisan Nasional (BN) memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 2 Ogos lalu.

Beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh dan mula memegang jawatan Menteri Besar pada 2 Ogos, sekali gus menjadikan tempoh perkhidmatannya sekitar 106 hari sebelum pengumuman peletakan jawatan dibuat.

Bagaimanapun, perkembangan terbaharu itu menyaksikan kedudukan Ismail masih tertakluk kepada proses perlembagaan negeri dan perkenan Tuanku Muhriz.

BBerkaitan

Latest articles