WARISAN Sahkan Akan Bertanding Di PRN Johor

JOHOR BAHRU: Parti Warisan Sabah (WARISAN) mengesahkan akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata keputusan parti berkenaan bertanding pada PRN Johor bagi memberi pilihan kepada pengundi.

Beliau berkata, walaupun ada pelbagai parti di Malaysia, tetapi rakyat sendiri yang akan menentukan perubahan kerajaan yang mereka mahukan.

“Di PRN Melaka dan Sarawak, WARISAN tidak bertanding, namun di Johor kita memutuskan secara rasmi untuk bertanding.

“Ini bagi memberi lebih pilihan kepada rakyat, biar rakyat yang tentukan untuk mengubah kerajaan.

“WARISAN mahu memberi pilihan kepada pengundi Johor membuat keputusan terbaik memilih bentuk kerajaan yang mereka inginkan,” katanya berucap melancarkan WARISAN Johor, di sini, malam ini.

Hadir sama, Ketua Koordinator WARISAN Johor, Suhaimi Salleh.

Pada 6 Februari lalu, Naib Presiden WARISAN, Datuk Junz Wong dilaporkan berkata, keputusan WARISAN sama ada bertanding pada PRN Johor akan diumumkan dalam masa terdekat.

Katanya, perkara itu akan diumumkan Mohd Shafie selepas menilai laporan penilaian keperluan menyertai PRN Johor.

BBerkaitan

Latest articles