Kes tembak KLIA: Hafizul minta bicara 7 tuduhan termasuk miliki pistol

Pengurus syarikat pelancongan minta dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api, 15 April lalu.

Tertuduh, Hafizul Hawari, 38, mohon dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad, menurut Berita Harian.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki senjata api jenis pistol Glock 19 Austria, buatan Turki, yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat minimum enam kali.

Pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memiliki 33 butir amunisi PMC 380 AUTO tanpa lesen yang sah mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 [Akta 206] boleh dihukum di bawah Seksyen 8 Akta sama yang boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.

Pertuduhan ketiga, dia didakwa memiliki satu bungkusan plastik cerah mengandungi mercun bola tanpa permit mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan boleh dihukum di bawah akta yang sama yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dilakukan dalam sebuah kereta Jenis Honda Civic di perkarangan KPJ Perdana Specialist Hospital, Kota Bharu, 2 petang, pada 15 April 2024.

Sementara itu, bagi pertuduhan keempat hingga keenam, tertuduh didakwa memiliki tiga kad pengenalan milik tiga individu lain yang menjadi kesalahan mengikut 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau dengan denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan ketujuh, lelaki itu didakwa memandu Honda Civic warna Putih yang menggunakan nombor pendaftaran palsu mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah akta sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 15 April, Ketua Polis Negara Razarudin Husain memaklumkan suspek kes tembak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 ditahan di Kota Bharu, Kelantan.

Katanya, Hafizul, 38, ditahan kira-kira 3 petang.

Dia dikehendaki selepas menembak pengawal peribadi isterinya di Balai Ketibaan KLIA, pada 1.30 pagi, 14 April.

Dalam kejadian itu, suspek pada mulanya melempar mercun sehingga mencederakan dua orang awam, sebelum menghampiri mangsa yang diiringi dua pengawal peribadi dan melepaskan dua tembakan pada jarak 3m hingga 4m.

BBerkaitan

Latest articles