JOHOR BAHRU: Seorang warga Singapura menerima hukuman penjara 14 hari dan denda RM7,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan yang didakwa menghina Islam.
Majistret A Shaarmini menjatuhkan hukuman terhadap Mohamed Anim Atam, 56, yang juga bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Mahkamah menetapkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditahan, Selasa lalu. Jika gagal menjelaskan denda, tertuduh berdepan tambahan hukuman penjara selama tiga bulan.
Anim didakwa melakukan kesalahan itu ketika menaiki kenderaan e-panggilan dari Jalan Tun Razak menuju Jalan Meldrum, di sini, kira-kira jam 5 petang, 30 Julai lalu.
Dia didakwa sengaja mengeluarkan kata-kata yang boleh melukakan perasaan agama seseorang dengan merujuk kepada al-Quran.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, kenyataan berkenaan dikatakan dibuat ketika tertuduh berada dalam kenderaan e-panggilan yang dipandu Muhamad Danial Haikal Nadzahakim, 29.
Pemandu terbabit kemudiannya memuat naik rakaman perbualan itu ke media sosial sebelum ia tular.
Susulan kejadian, satu laporan polis dibuat pada 31 Julai lalu.
Tertuduh kemudian ditahan kira-kira jam 4.15 petang, Selasa lalu di Bangunan Sultan Iskandar, Jalan Lingkaran Dalam, Bukit Cagar.
Ketika rayuan, Anim yang tidak diwakili peguam memohon hukuman lebih ringan dengan alasan menghidap darah tinggi selain perlu hadir ke mahkamah bagi urusan perceraian.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Eizlan Azhar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira keseriusan kesalahan yang menyentuh isu 3R – agama, kaum dan institusi diraja, selain rakaman berkenaan telah tersebar di media sosial.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara dan denda tersebut terhadap tertuduh.










