Bermula Di Melaka, Menuju Putrajaya – Ab Rauf

MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menjadi langkah awal ke arah matlamat politik yang lebih besar, iaitu Putrajaya.

Ab Rauf, yang juga calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, berkata kesepakatan yang dicapai di Melaka akan diuji apabila rakyat negeri itu keluar mengundi pada 14 November ini.

“Putrajaya matlamat kita, Melaka ialah kejayaan kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Rahmah Mesra YAB Ketua Menteri Melaka bersama warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Villa D’Acqua, Kampung Pulau, petang ini.

Beliau berkata usaha menjalin kerjasama politik sebelum ini, termasuk menerusi Muafakat Nasional, berdepan kesukaran mencapai kata sepakat. Kali ini, katanya, BN dan PN mencapai persetujuan untuk bekerjasama dalam PRN Melaka.

Dalam ucapannya, Ab Rauf turut menyentuh mengenai DAP sambil mempersoalkan perkembangan yang berlaku dan menyeru supaya proses diikuti.

“Cuba tengok DAP pula, pandai-pandai kenapa jadi macam ini? … Ikutlah proses,” katanya, tanpa memperincikan perkara yang dirujuknya.

Ab Rauf turut mengingatkan hadirin bahawa BN pernah kehilangan kuasa selepas mentadbir negara selama kira-kira enam dekad. Katanya, pengalaman itu menunjukkan kuasa menentukan kerajaan terletak di tangan pengundi.

Beliau menggesa pengundi keluar awal pada hari pengundian dan menyeru pengundi Tanjung Bidara memilih calon nombor dua.

“Pastikan gelombang biru ini bermula di Melaka,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles