Keluarga Tidak Boleh Tinggal Bersama Najib, Rosmah Di Pavilion

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Razak tidak membolehkan ahli keluarganya tinggal bersama bekas perdana menteri itu, selain segala urusan harian tertakluk kepada peraturan ditetapkan pihak berkuasa.

EXCO Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid, berkata isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, dipercayai akan terus menetap di kediamannya di Pavilion sepanjang tempoh berkenaan.

Beliau turut menjelaskan Najib tidak dibenarkan keluar dari kediaman di Taman Duta yang diwartakan sebagai penjara, termasuk untuk mendapatkan makanan melalui pembelian dalam talian.

“Anak bini dia bukan tinggal sekali. DSR (Rosmah) duduk Pavilion,” katanya menerusi ruangan komen hantaran pengguna Threads, @wakdoyik.co, hari ini.

Nurulhidayah berkata, urusan lawatan juga akan ditetapkan pihak berkuasa dan tertakluk kepada prosedur seperti yang dilaksanakan di penjara.

Menurutnya, bekalan makanan dan minuman turut ditentukan pihak penjara, sekali gus menepis tanggapan bahawa tahanan rumah membolehkan Najib menjalani kehidupan bebas seperti biasa.

“Terima kasih tanya sebab nak tahu. Letih baca fitnah dari orang-orang yang terpaling tahu semua.

“Oh ya. Makanan minuman semua penjara yang tentukan,” katanya.

Kenyataan itu dibuat susulan pertanyaan pengguna Threads berhubung pelaksanaan tahanan rumah Najib, termasuk sama ada ahli keluarga dibenarkan berada bersama di kediaman berkenaan.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aslam Zainuddin, membatalkan Perintah Pelepasan Atas Pembayaran Denda yang dikeluarkan mahkamah pada 6 November lalu.

Sebaliknya, mahkamah memerintahkan Najib dipindahkan dari Penjara Kajang ke kediamannya di Taman Duta, berkuat kuasa serta-merta, selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat.

Najib akan menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, susulan sabitan kesalahan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

BBerkaitan

Latest articles