Cahaya Misteri Di Sabah Berpunca Daripada Pelancaran Roket China

KOTA KINABALU: Penampakan cahaya terang yang mencetuskan tanda tanya penduduk di ruang udara Sabah pada awal pagi Isnin lalu disahkan berpunca daripada pelancaran roket milik China.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) menerusi Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) memaklumkan, fenomena itu berkait dengan pelancaran roket Long March 12 dari Hainan International Commercial Launch Center di Wenchang, Hainan, China, pada jam 4.24 pagi waktu tempatan.

Dalam kenyataan hari ini, MYSA turut memaklumkan Agensi Angkasa Filipina (PhilSA) mengenal pasti kemungkinan serpihan daripada misi pelancaran berkenaan jatuh di zon tertentu dalam perairan negara itu.

Zon jatuhan serpihan berkenaan dianggarkan terletak kira-kira 25 batu nautika dari Puerto Princesa, Palawan, dan 19 batu nautika dari Tubbataha Reefs Natural Park, yang kedua-duanya berada dalam wilayah perairan Filipina.

Bagaimanapun, MYSA menegaskan setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan rasmi mengenai penemuan serpihan objek berkaitan pelancaran roket itu di dalam wilayah kedaulatan Malaysia.

Sehubungan itu, orang ramai yang menemui sebarang objek mencurigakan dipercayai mempunyai kaitan dengan pelancaran berkenaan diminta segera melaporkannya kepada Bahagian Penguasa Angkasa.

Laporan boleh dibuat menerusi talian 03-8885 8685 atau e-mel [email protected].

BBerkaitan

Latest articles