MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mahu khazanah sejarah Melayu yang tersimpan di Belanda dibawa pulang supaya generasi akan datang dapat mengenali warisan Kesultanan Melayu Melaka dan peranannya sebagai pusat perdagangan maritim.
Ab Rauf, yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, berkata usaha menelusuri khazanah itu bermula selepas pertemuannya dengan Duta Belanda, yang memaklumkan mengenai bahan sejarah berkaitan Melaka yang tersimpan di negara berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rahmah Mesra YAB Ketua Menteri Melaka bersama warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Villa D’Acqua, Kampung Pulau, petang ini.
Katanya, beliau kemudian menghimpunkan penyelidik, termasuk dari Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia, untuk meneliti bahan yang tersimpan di Universiti Leiden. Beliau turut melawat Belanda selepas pasukan itu menjalankan kajian awal.
Ab Rauf menyebut Undang-Undang Laut Melaka sebagai antara bahan yang menarik perhatiannya kerana memperlihatkan bagaimana urusan perkapalan dan percukaian diatur pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Beliau turut menyentuh peranan Melaka dalam perjalanan menuju kemerdekaan, termasuk sambutan 20 Februari bagi memperingati pengumuman tarikh kemerdekaan di negeri itu.
Ab Rauf berkata beliau mahu hasil penelitian terhadap khazanah yang tersimpan di Belanda itu dipersembahkan kepada umum supaya dapat dipelajari oleh generasi akan datang.










