LENDU: Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang menggariskan perancangan pentadbiran dalam tempoh 100 hari, setahun dan lima tahun mendapat perhatian generasi muda kerana menawarkan hala tuju pembangunan negeri yang lebih tersusun.
Seorang anak muda Gen Z yang ditemui di Lendu, Nik Syu, berkata pendekatan itu memperlihatkan bagaimana BN merangka agenda pentadbiran menerusi enam teras utama termasuk kebajikan rakyat, tadbir urus dan pembangunan ekonomi.
Menurutnya, manifesto berkenaan bukan sekadar menyenaraikan janji pilihan raya, sebaliknya turut menjelaskan sasaran yang mahu dicapai dalam tempoh tertentu sekiranya BN diberikan mandat mentadbir Melaka.
“Kalau kita tengok manifesto BN, dia ada struktur, dia ada perancangan. Tok Rauf dan pasukannya sudah meletakkan apa yang hendak dilakukan dalam 100 hari, setahun dan lima tahun.
“Enam teras daripada kebajikan, tadbir urus, ekonomi dan sebagainya. Kita nampak bagaimana tersusunnya perancangan mereka untuk memimpin negeri,” katanya ketika ditemui di Lendu.
Nik Syu berkata, pada pandangannya, perancangan sedemikian penting bagi membolehkan rakyat, khususnya generasi muda, memahami hala tuju pembangunan yang ditawarkan sesebuah parti politik.
Beliau turut menyifatkan manifesto BN sebagai tawaran yang realistik dan boleh dilaksanakan, bukannya sekadar menjanjikan sesuatu yang sukar dicapai.
Mengulas mengenai agenda anak muda, Nik Syu turut menyambut baik Teras Kenamaan yang diketengahkan dalam manifesto BN, khususnya penekanan terhadap kecerdasan buatan (AI), penganjuran wacana serta penyediaan kursus percuma.
Katanya, inisiatif berkenaan selari dengan keperluan generasi muda yang kini berdepan perubahan teknologi semakin pesat dan memerlukan peluang meningkatkan kemahiran bagi menghadapi cabaran masa depan.










