Wanita Hilang Sejak 16 Jun Hubungi Polis, Maklum Selamat, Perlukan Masa Bertenang

TAIPING: Misteri kehilangan seorang wanita yang dilaporkan tidak pulang selepas keluar menghadiri sesi temu duga kerja pada 16 Jun lalu akhirnya terungkai apabila dia menghubungi pihak polis dan memaklumkan dirinya berada dalam keadaan selamat.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Mohd Ariffridzuan Ezahar berkata, Nor Afiza Zainuddin, 41, berjaya dihubungi dan memaklumkan bahawa dia berada dalam keadaan baik, namun memerlukan sedikit masa untuk menenangkan diri.

Menurut beliau, wanita itu memaklumkan akan pulang ke Taiping bagi bertemu ahli keluarganya serta memberi keterangan kepada polis selepas bersedia berbuat demikian.

“Nor Afiza memaklumkan dia sihat dan hanya memerlukan sedikit masa untuk bertenang sebelum pulang ke Taiping bagi bertemu keluarga serta membantu siasatan polis.

“Bagaimanapun, dia tidak mendedahkan lokasi semasanya,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, kakak Nor Afiza berkata, keluarga hanya mengetahui perkembangan tersebut selepas dimaklumkan oleh pihak polis kerana adiknya masih belum menghubungi mana-mana ahli keluarga.

Katanya, Nor Afiza hanya menyampaikan pesanan bahawa dirinya berada dalam keadaan baik dan memerlukan ruang untuk menenangkan fikiran.

“Saya sendiri tidak pasti bila dia akan pulang kerana setakat ini dia hanya berhubung dengan polis,” katanya.

Dalam pada itu, adik mangsa, Ahmad Zulhilmi, 34, berharap kakaknya segera pulang kerana seluruh keluarga amat merinduinya.

Menurutnya, dua anak Nor Afiza turut sering bertanyakan mengenai ibu mereka, namun keluarga berusaha menenangkan mereka sementara menunggu kepulangannya.

Sebelum ini, Nor Afiza dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah keluarganya di Taiping pada 16 Jun lalu untuk menghadiri temu duga di sebuah hotel di Kuala Kangsar sebelum gagal dikesan, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ahli keluarga.

BBerkaitan

Latest articles