Azmin Gesa Pimpinan PN Jangan Remehkan Siasatan ROS

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggesa kepimpinan tertinggi dan pihak pengurusan Perikatan Nasional (PN) supaya tidak meremehkan peranan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Beliau menegaskan bahawa tindakan melemparkan tohmahan jahat yang tidak berasas semata-mata untuk meraih simpati politik bagi menutup kegagalan kepimpinan sedia ada adalah tidak wajar.

Menurut beliau, BERSATU sebelum ini telah mengemukakan aduan rasmi kepada JPPM berhubung kewujudan ‘kuasa veto’ yang mencampuri serta mempengaruhi keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi PN.

“Aduan tersebut turut membabitkan tindakan individu yang tidak memegang sebarang jawatan dalam Majlis Tertinggi PN namun kerap mengeluarkan kenyataan berunsur ancaman (threat) serta tekanan bagi melucutkan atau menggugurkan BERSATU sebagai parti anggota yang sah.

“Amalan ini bercanggah dengan kuasa yang diberikan kepada Majlis Presiden Perikatan Nasional di bawah Fasal 7A.1(c) Perlembagaan Perikatan Nasional,” jelas Azmin dalam kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa pihak ROS telah mengesahkan penerimaan aduan BERSATU dan sedang melaksanakan penelitian menyeluruh berdasarkan Akta Pertubuhan 1966 serta peraturan berkaitan dan perlembagaan PN.

Beliau sendiri telah hadir mewakili BERSATU untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat ROS, Putrajaya pada 18 Ogos 2026 bagi menghulurkan kerjasama penuh kepada pegawai penyiasat dan merungkai asas aduan yang dibuat pada 11 Ogos 2026.

Beliau turut mengingatkan bahawa ROS telah berulang kali mengeluarkan peringatan secara bertulis kepada PN supaya pertubuhan itu sentiasa menjalankan segala aktiviti selaras dengan Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] serta Perlembagaan PN.

Azmin menegaskan bahawa BERSATU akan senantiasa melaksanakan tanggungjawab dalam memelihara perlembagaan PN serta memastikan perjalanan parti sentiasa telus, berintegriti, dan menjunjung prinsip kebertanggungjawaban.

BBerkaitan

Latest articles