Undang Yang Empat Dakwa Usaha Jatuhkan Tuanku Muhriz Didalangi Pihak Berkepentingan

SEREMBAN: Dakwaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dan barisan EXCO terbabit dalam usaha menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, disifatkan sebagai tohmahan yang didorong kepentingan pihak tertentu.

Undang Yang Empat termasuk Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Mubarak Dohak, mendakwa pihak yang melemparkan tuduhan berkenaan sebenarnya menjadi punca kemelut adat dan institusi diraja negeri itu berlarutan.

Beliau berkata, Menteri Besar dan EXCO tidak mempunyai kuasa untuk menurunkan Yang di-Pertuan Besar, sebaliknya hanya melaksanakan tanggungjawab perlembagaan berdasarkan keputusan Undang Yang Empat di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).

“Justeru, kami mengecam sekeras-kerasnya sebarang usaha sama ada secara terbuka atau berselindung yang cuba mencabuli prerogatif dan hak perlembagaan kami,” katanya ketika membacakan kenyataan bersama Undang Yang Empat pada sidang media di Balai Undang Luak Sungei Ujong, hari ini.

Turut hadir Undang Johol, Dato Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan, Datuk Muhammed Abdullah, Datuk Maarof Mat Rashad dan Abdul Rahim Yassin.

Mubarak turut mengingatkan kerajaan Persekutuan dan Jabatan Peguam Negara supaya tidak mencampuri urusan pemerintahan Negeri Sembilan, khususnya perkara berkaitan Perkara 10 dan 11 UUTKNS.

Katanya, campur tangan sedemikian berisiko mencetuskan keadaan lebih buruk sehingga menjejaskan kelancaran pentadbiran eksekutif negeri.

Dalam pada itu, mereka mendakwa arahan Tuanku Muhriz untuk membatalkan pelantikan barisan EXCO negeri adalah tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai kuat kuasa.

Undang Yang Empat turut menegaskan pentadbiran negeri perlu memberikan segala keistimewaan kepada Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar, yang didakwa telah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.

Mereka mendakwa kemelut adat dan pemerintahan negeri itu sudah diselesaikan melalui Proklamasi di bawah Perkara 10 UUTKNS 1959, termasuk pemakluman rasmi mengenai penurunan takhta Tuanku Muhriz dan pemilihan Tunku Nadzaruddin.

Mereka juga mengingatkan parti politik dan pihak luar supaya tidak mencampuri atau memutarbelitkan isu adat serta pemerintahan Negeri Sembilan.

“Tiada mana-mana parti politik mempunyai kuasa untuk menurunkan seseorang Raja. Kuasa itu hanya terletak pada punca kuasa yang sah, iaitu Undang Yang Empat dalam konteks Negeri Sembilan,” menurut kenyataan itu.

Mereka berkata, adat pemerintahan Negeri Sembilan telah diamalkan lebih 500 tahun dan menegaskan kedudukan mereka sebagai Pemerintah serta Ketua Adat memberikan mereka pemahaman terhadap perkara yang sedang berlaku.

BBerkaitan

Latest articles