Serangan Seawal 6.50 Pagi, HARINGAROO 76/2026 Uji Keupayaan Tempur Malaysia-Australia

FELDA SOEHARTO: Satu letupan kuat pada jam 6.50 pagi menjadi isyarat bermulanya serangan sebelum suasana bertukar gamat dengan semburan tembakan senjata bantuan dan tembakan berturutan menggegarkan Felda Soeharto.

Letupan itu menjadi tanda bermulanya simulasi serangan akhir Eksersais HARINGAROO Siri 76/2026 yang membabitkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Darat Australia (TDA) dalam senario peperangan konvensional di kawasan latihan di Felda Soeharto, Selangor.

Serangan dilakukan secara berperingkat dengan pasukan penyerang mara menghampiri kedudukan musuh sambil dibantu elemen sokongan bagi membuka ruang kepada pasukan pemukul hadapan.

Tembakan yang bertali arus itu akhirnya tamat sekitar jam 9 pagi dengan pasukan gabungan tentera Malaysia dan Australia itu berjaya mencapai objektif akhir dan sekali gus menamatkan simulasi serangan yang menguji keupayaan taktikal, koordinasi dan interoperabiliti kedua-dua tentera.

Simulasi itu merupakan sebahagian daripada Eksersais HARINGAROO Siri 76/2026 yang berlangsung dari 17 hingga 28 September di Kem Sungai Buloh serta beberapa kawasan latihan terpilih di Selangor.

Bagi siri kali ini, 11 Briged dipertanggungjawabkan melaksanakan eksersais dengan penglibatan Batalion Ke-8 Rejimen Askar Melayu Diraja (8 RAMD) bersama Rifle Company Butterworth (RCB) Tentera Darat Australia serta elemen sokongan berkaitan.

Panglima 4 Divisyen, Mejar Jeneral Hj Mohd Shauari bin Hj Mat Piah

Dalam pada itu, Panglima 4 Divisyen, Mejar Jeneral Hj Mohd Shauari bin Hj Mat Piah berkata, latihan berkenaan memberi peluang kepada anggota kedua-dua negara mengaplikasikan pengetahuan dan prosedur operasi dalam keadaan medan lebih realistik.

Beliau yang menyaksikan serangan akhir itu turut memuji keupayaan pasukan menyesuaikan tindakan di medan sehingga objektif latihan berjaya dicapai.

Menurutnya, HARINGAROO kali ini memberi tumpuan kepada pelaksanaan operasi ofensif bersama dalam peperangan konvensional termasuk Operasi Kawasan Terbina (Operations in Built-Up Area – OBUA). Eksersais itu dilaksanakan menerusi dua peringkat utama iaitu Cross Training Exercise (CTX) dan Field Training Exercise (FTX).

CTX memberi penekanan kepada pertukaran pengetahuan, kemahiran, prosedur dan teknik ketenteraan, manakala FTX membolehkan kedua-dua pasukan mengaplikasikan pengetahuan berkenaan dalam persekitaran operasi lebih realistik.

“Pendekatan secara progresif ini membolehkan kita bergerak daripada teori kepada praktikal dan daripada individu kepada tindakan berkumpulan serta kolektif.

“Ia membolehkan kedua-dua tentera membandingkan doktrin, menguji prosedur dan membina keyakinan sebelum beroperasi bersama di medan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Eksersais HARINGAROO Siri 76/2026.

Menurut Mohd Shauari, latihan itu juga mempunyai nilai pulangan atau Return of Value (ROV) yang bukan sahaja diukur berdasarkan kejayaan menyelesaikan sesuatu eksersais, tetapi sejauh mana ilmu dan pengalaman diperoleh mampu meningkatkan keupayaan operasi anggota.

Sepanjang eksersais, beberapa jurang dan perbezaan antara kedua-dua tentera dikenal pasti termasuk dalam aspek battle procedure, terminologi operasi, struktur organisasi atau Order of Battle (ORBAT), penggunaan senjata bantuan, prosedur operasi serta logistik.

Penilaian itu membolehkan kedua-dua tentera mengenal pasti amalan terbaik selain membandingkan Tactics, Techniques and Procedures (TTP) masing-masing untuk meningkatkan keberkesanan operasi.

Antara hasil utama yang disasarkan ialah peningkatan keberkesanan operasi, kompetensi anggota, pembangunan doktrin dan TTP, interoperabiliti serta peningkatan kesiagaan operasi.

Mohd Shauari turut mengingatkan anggota TDM supaya ilmu diperoleh sepanjang HARINGAROO tidak terhenti selepas latihan.

“Latihan adalah untuk prepare diri kita untuk berperang”

“Kalau orang bertanya apa yang kita dapat dalam exercise ini, banyak return of value kita. Satu adalah kepakaran kita dinaikkan… yang kedua, interoperability kita antara sama kita dah meningkat. Dan akhirnya kita dapat menjadi seorang anggota yang profesional,” katanya.

Beliau berkata, peluang berlatih bersama tentera asing amat bernilai kerana kedua-dua pihak bukan sahaja dapat berkongsi kepakaran, malah mempelajari pendekatan masing-masing khususnya dalam operasi bandar dan kawasan terbina.

Sementara itu, Brigadier Jason Groat, Director General Career Management TDA, berkata Tentera Darat Australia mempunyai banyak perkara untuk dipelajari daripada TDM, terutama mengenai operasi di kawasan hutan, medan tertutup dan persekitaran pesisir.

“Kepada rakan-rakan Malaysia, kami mempunyai banyak perkara untuk dipelajari daripada anda.

“Kami perlu terus belajar bagaimana untuk beroperasi dalam persekitaran ini, bagaimana untuk beroperasi di medan tertutup, di hutan dan kawasan pesisir,” katanya.

Groat turut menggesa anggota kedua-dua tentera supaya hubungan profesional yang terjalin sepanjang latihan diteruskan.

“Kenali rakan-rakan Australia anda sebaik mungkin. Kekalkan hubungan dengan mereka kerana suatu hari nanti kita mungkin bertempur bersama-sama di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata, anggota Australia juga perlu terus meningkatkan kemahiran taktikal serta mengambil sebanyak mungkin pengetahuan dan kepakaran daripada 2/30 Training Group.

Hubungan latihan TDM-TDA mempunyai sejarah panjang dan pelaksanaan HARINGAROO secara berterusan membolehkan kedua-dua tentera membina keyakinan, persefahaman serta keupayaan untuk beroperasi bersama apabila diperlukan.

Majlis penutup turut dihadiri Panglima 11 Briged, Brigedier Jeneral Dato’ Pahlawan Safwan @ Asri bin Ismail; Panglima 12 Briged, Brigedier Jeneral Mahamad Fazli bin Mat Idris serta pegawai dan anggota TDM dan TDA yang terbabit dalam eksersais.

BBerkaitan

Latest articles