Cadangan Kawat Duri, Pengawal Bersenjata Di rumah Najib Tidak Masuk Akal

KUALA LUMPUR: Cadangan supaya kediaman Datuk Seri Najib Razak dikawal ketat dengan kawat duri, lampu sorot serta pengawal bersenjata bagi melaksanakan tahanan rumah disifatkan sebagai langkah yang bertentangan dengan konsep sebenar hukuman berkenaan.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, tahanan rumah tidak sepatutnya dilihat sebagai penjara yang dipindahkan dari sebalik tembok ke kediaman seseorang.

Sebaliknya, katanya, konsep berkenaan membolehkan banduan menjalani kehidupan di rumah dengan mematuhi syarat yang ditetapkan, tanpa menjejaskan tujuan hukuman.

“Kenapa perlu pasang kawat duri di sekeliling rumah Datuk Seri Najib, letakkan lampu dan bina rumah pengawal yang tinggi untuk pengawal duduk di situ dengan membawa submesin gun?

“Itu tidak masuk akal kerana ia tidak selari dengan rasional pelaksanaan tahanan rumah,” katanya.

Muhammad Shafee berkata, tahanan rumah juga tidak boleh disamakan dengan parol atau pengurangan hukuman kerana ketiga-tiganya mempunyai mekanisme dan tujuan yang berbeza.

Menurutnya, pengurangan hukuman boleh menyebabkan tempoh pemenjaraan seseorang dipendekkan, manakala parol pula membabitkan proses berasingan yang diputuskan Lembaga Parol.

“Tahanan rumah tiada kaitan dengan parol, tiada kaitan dengan pengurangan hukuman, langsung tiada,” katanya.

Beliau berkata, dalam konteks tahanan rumah, seseorang masih menjalani hukuman tetapi lokasi pelaksanaannya adalah di luar penjara, tertakluk kepada syarat tertentu.

Muhammad Shafee turut memberi contoh pengaturan terdahulu membabitkan banduan yang diberikan lesen untuk keluar dari penjara bagi tempoh tertentu, termasuk sempena sambutan Aidilfitri.

Katanya, tempoh kebenaran berkenaan boleh diberikan antara tujuh hari hingga sebulan, bergantung kepada syarat yang dikenakan.

“Jika anda melanggar syarat, anda kembali ke penjara. Jadi, itu ialah tahanan rumah yang terhad, tetapi ia tetap tahanan rumah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata banyak perkara berkaitan pelaksanaan tahanan rumah Najib ketika ini masih menjadi bahan spekulasi kerana pihak pembelaan belum menerima dokumen rasmi yang memperincikan syarat pengampunan bersyarat berkenaan.

Katanya, pasukan guaman Najib sendiri masih mempunyai maklumat terhad mengenai mekanisme sebenar yang bakal digunakan.

Najib, 73, kini masih menjalani hukuman di Penjara Kajang sementara menunggu pemenuhan syarat berkaitan pengampunan bersyarat yang membolehkan baki hukuman bagi kes SRC International dijalani di rumah.

BBerkaitan

Latest articles