Najib Tak Mampu Bayar RM50 Juta, Shafee Persoal Kelewatan Surat Pengampunan

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, didakwa tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk menjelaskan denda RM50 juta yang menjadi antara syarat bagi membolehkannya menjalani baki hukuman kes SRC International di bawah tahanan rumah.

Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata keadaan itu menjadi lebih sukar berikutan beberapa akaun bank Najib masih dibekukan, termasuk akaun Affin Bank yang menurutnya pernah digunakan untuk menerima gaji ketika menjadi Perdana Menteri dan Ahli Parlimen.

“Setakat hari ini, Datuk Seri Najib sendiri tidak mampu membayarnya. Beliau tidak mampu membayar,” katanya kepada pemberita selepas prosiding mahkamah membabitkan bekas Perdana Menteri itu, hari ini.

Shafee turut menegaskan bahawa Najib tidak pernah meminta sumbangan orang awam bagi melangsaikan denda RM50 juta berkenaan.

Pada masa sama, beliau mendedahkan Najib dan pasukan guamannya masih belum menerima surat rasmi yang memperincikan keputusan serta syarat pengampunan bersyarat Yang di-Pertuan Agong berhubung pelaksanaan tahanan rumah.

Menurut Shafee, kelewatan itu menimbulkan persoalan kerana sudah memasuki hari kelapan sejak keputusan berkenaan dibuat, namun dokumen rasmi masih belum diterima Najib.

Lebih membimbangkan, katanya, pihak Jabatan Penjara juga didakwa masih belum menerima surat berkenaan, sekali gus menyukarkan persediaan serta tindakan lanjut berkaitan pelaksanaan tahanan rumah.

“Yang di-Pertuan Agong sudah membuat keputusan secara prerogatif. Orang yang paling mustahak ialah Datuk Seri Najib kerana dia adalah orang yang dikenakan penjara, dikenakan penahanan rumah, tetapi hingga ke hari ini dia belum mendapat surat itu.

“Kita tidak tahu kenapa surat itu begitu lambat, penjara pun tidak dapat,” katanya.

Shafee berkata, ketiadaan dokumen rasmi berkenaan turut menjejaskan tindakan seterusnya pasukan guaman kerana mereka belum mengetahui secara terperinci semua syarat yang dikenakan.

“Hari kelapan, pelik. Kelewatan ini menjejaskan tindakan seterusnya pasukan guaman kerana kami tidak mengetahui syarat penuh yang terkandung dalam dokumen rasmi berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, keluarga Najib turut dilaporkan masih belum menerima maklumat rasmi daripada pihak berkuasa berhubung prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan tahanan rumah, termasuk daripada Jabatan Penjara.

Dalam keputusan pengampunan terdahulu, hukuman Najib dalam kes SRC International dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun penjara, manakala denda dikurangkan kepada RM50 juta.

BBerkaitan

Latest articles