KUALA LUMPUR: Wanita yang mayatnya ditemukan di dalam sebuah bagasi di sebuah rumah sewa di Taman Impian Indah, Kajang pada Ahad lalu disahkan meninggal dunia akibat kecederaan tetakan di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Naazron Abdul Yusof berkata, punca kematian itu diperoleh hasil bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Kajang pada kira-kira jam 6.20 petang semalam.
Menurut beliau, pemeriksaan forensik turut mengesahkan tiada anggota badan mangsa dipotong atau dipisahkan, sekali gus menolak dakwaan bahawa mayat berkenaan telah dikerat.
“Siasatan mendapati mangsa meninggal dunia akibat tetakan di kepala. Bedah siasat juga mendapati tiada bahagian badan mangsa yang terpisah atau dipotong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan sama, polis memaklumkan rumah yang menjadi lokasi penemuan mayat itu telah disewa oleh sepasang suami isteri warga asing sejak Februari lalu.
Bagaimanapun, identiti mangsa masih belum dapat dipastikan dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada wanita terbabit merupakan pasangan yang menyewa rumah berkenaan atau individu lain.
Naazron berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian atau kehilangan ahli keluarga serta pekerja supaya segera menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Nur Ayuni Abd. Aziz menerusi talian 016-2080717.
Terdahulu, media melaporkan mayat seorang wanita ditemukan di dalam sebuah bagasi yang diletakkan di ruang tamu sebuah rumah sewa di Taman Impian Indah, Kajang pada Ahad.
Polis menerima laporan berhubung penemuan itu pada kira-kira jam 8.37 malam sebelum sepasukan anggota bersama Unit Forensik digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan dan mengumpul bahan bukti.










