UMNO yakin buat kejutan ‘rampas’ semula kerusi Parlimen Batu

KUALA LUMPUR, 26 Okt: Umno bahagian Batu menyuarakan keyakinan akan merampas kembali kerusi Parlimen itu daripada Pakatan Harapan (PH) walaupun dijangka berdepan saingan sengit daripada parti lawan.

Ketua Umno Bahagian Batu, Datuk Seri Yahaya Mat Ghani berkata pengundi di Parlimen Batu perlu memilih parti yang membawa kestabilan kepada negara.

“Politik negara masa ini tidak stabil. Lihat di Melaka, Johor dan Sabah kini semakin stabil.

“Jika memilih parti yang membawa kestabilan, negara tidak jadi huru hara dengan pemimpin yang sering ingin menarik sokongan jika menang majoriti tipis,” katanya kepada The Rakyat Insight.

Parlimen Batu dijangka antara kerusi panas pada PRU15 kerana menjadi tumpuan ramai calon daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), PKR dan bebas, antaranya peguam, Siti Kasim serta pempengaruh media sosial, Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin, atau lebih dikenali Cleopatra.

Parlimen Batu dikuasai Tian Chua daripada PKR sejak 2008 hingga 2013. Pada 2018, penolakan pencalonannya mencetuskan kontroversi kerana dibuat atas alasan beliau pernah disaman RM2,000 oleh mahkamah pada 2010.

Tian Chua kemudian mengambil pendirian menyokong calon bebas, Prabakaran yang ketika itu merupakan pelajar undang-undang berusia 22 tahun, yang memenangi kerusi itu dan menyertai PKR sebagai Ahli Parlimen termuda di negara ini

Dalam pada itu, Yahaya berkata pengundi Melayu di Batu adalah seramai 51,000 pengundi dan jika BN meletakkan calon Umno, peluang untuk menang itu ada.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan jika BN menang, gabungan itu hanya mendapat majoriti tipis kerana berdepan saingat yang kuat daripada calon PH sama ada Prabakaran atau Tian Chua.

“Jika lihat di Semenyih pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) BN kalah tetapi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas itu menang besar.

“Jadi tidak mustahil di Batu Umno bakal buat kejutan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita Batu, Norashekin Yusof berkata pengundi di Batu sudah bijak dan tidak terpengaruh dengan calon seperti Cleopatra.

Beliau berkata PRU15 bukan pertandingan ratu cantik.

“Tak semeseti pengundi pilih calon cantik sahaja. Penduduk sudah bijak dan memilih calon yang mempunyai kredibiliti.

“Saya yakin pengundi Batu tidak pilih Cleopatra,” katanya.

Tambah Norashekin beliau juga setuju jika calon wanita lebih ramai diketengahkan oleh BN pada PRU15.

“Saya percaya kaum wanita sendiri sangat komited dan kita juga mempunyai pemimpin yang ada kredibiliti dalam kalangan wanita,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles