KUALA LUMPUR: Istana Negara menegaskan perintah pengampunan bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Razak yang membolehkannya menjalani hukuman penjara secara tahanan di rumah adalah jelas dan tidak sepatutnya menimbulkan sebarang kekeliruan tafsiran.
Menerusi titah kenyataan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertarikh 7 November 2026, Istana Negara menjelaskan bahawa Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah meneliti petisyen Najib pada 18 September lalu, selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Mesyuarat Lembaga Pengampunan itu turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan dan Peguam Negara sebelum nasihat sewajarnya dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda.
Menurut kenyataan itu, Yang di-Pertuan Agong telah memerintahkan supaya Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah, tertakluk kepada syarat pembayaran denda RM50 juta.
Sultan Ibrahim juga menegaskan bahawa perintah pengampunan bersyarat berkenaan adalah jelas, nyata dan tidak mempunyai sebarang ambiguiti, selain tidak berkaitan dengan mana-mana kes lain yang dihadapi Najib.
“Tidak sepatutnya timbul kekeliruan tafsiran dan tidak sepatutnya menyebabkan ketidakpastian berpanjangan terhadap pelaksanaan keputusan yang telah diperkenankan,” menurut kenyataan itu.
Istana Negara turut mengingatkan bahawa kuasa pengampunan merupakan prerogatif Diraja yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Pelaksanaan kuasa berkenaan, katanya, perlu dihormati selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan serta prinsip kedaulatan undang-undang.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa apabila semua syarat dalam perintah pengampunan bersyarat telah dipenuhi, sebarang hujah yang mempertikaikan pelaksanaannya disifatkan sebagai menjurus kepada pengingkaran terhadap titah Yang di-Pertuan Agong.










