MELAKA: Kepimpinan UMNO Pusat dan UMNO Negeri Sembilan sedang berusaha bersama Menteri Besar untuk mencari penyelesaian kepada kemelut di negeri itu, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, keutamaan ketika ini ialah memastikan perkhidmatan kepada rakyat berjalan, terutama menjelang pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan.
Ahmad Zahid berharap sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membentangkan belanjawan itu dapat diadakan bulan ini, tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Kami amat yakin bahawa Tuanku juga mempunyai pertimbangan sendiri untuk diperkenankan supaya sidang khas Belanjawan ini dapat diadakan dalam bulan ini juga, insya-Allah,” katanya ketika ditemui di Paya Rumput malam ini.
Ditanya sama ada kerajaan negeri sedia ada akan terus mentadbir, Ahmad Zahid berkata, beliau berharap pentadbiran dapat berjalan dengan kerjasama kerajaan negeri dan pegawai pentadbiran selepas DUN bersidang dan belanjawan diluluskan.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa pihak terbabit dapat mencapai titik persamaan bagi memastikan Negeri Sembilan ditadbir dengan baik.










