KUALA LUMPUR: Kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta, terus dikawal ketat polis dengan beberapa pergerakan kenderaan keluar masuk dikesan sejak 8 pagi tadi.
Tinjauan mendapati, dua kenderaan dipercayai milik ahli keluarga Najib memasuki dan meninggalkan kawasan kediaman itu, dipercayai bagi menziarahi bekas pemimpin berkenaan.
Pekarangan rumah turut dipasang pita keselamatan kuning, manakala anggota polis ditempatkan bagi menghalang orang awam daripada memasuki kawasan berkenaan.
Kawalan keselamatan di laluan menuju kediaman itu dilaporkan bermula sejak petang semalam.
Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipercayai membawa Najib dari Penjara Kajang ke kediamannya malam tadi turut dilihat meninggalkan pekarangan rumah itu petang tadi.
Bagaimanapun, Najib difahamkan tidak berada di dalam kenderaan berkenaan ketika ia keluar dari kawasan tersebut.
Sepanjang tinjauan sehingga petang tadi, tiada orang awam atau penyokong Najib dilihat berkumpul di pekarangan kediaman berkenaan.
Najib dilaporkan tiba di rumahnya kira-kira jam 9.30 malam semalam untuk menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi kaedah tahanan rumah.
Perkembangan itu susulan keputusan Hakim Datuk Aslam Zainuddin yang membatalkan perintah pelepasan selepas pembayaran denda bertarikh 6 November lalu sebelum menggantikannya dengan perintah bersyarat baharu.
Berdasarkan perintah berkenaan, Najib perlu menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, selaras dengan pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 September lalu.










