JASIN: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa DAP semakin berani mempersoalkan institusi Raja-Raja Melayu susulan keadaan politik semasa yang disifatkannya tidak lagi stabil.
Beliau berkata, tindakan itu termasuk kenyataan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua yang didakwa memperkecilkan Yang di-Pertuan Agong, selain pernah mempersoalkan titah Sultan Selangor berhubung isu ladang babi di negeri itu.
Menurutnya, perkara berkenaan tidak sepatutnya berlaku kerana institusi Raja-Raja Melayu perlu dihormati, meskipun terdapat pihak yang mempunyai pandangan berbeza terhadap sesuatu titah.
“Ini bukan kali pertama. Beberapa bulan lepas, orang yang sama juga mempertikaikan Tengku Sultan Selangor yang bertitah berkenaan ladang babi di negeri Selangor.
“Bila Tengku bertitah, kita sebagai rakyat mestilah hormat. Kalau pun tidak mahu ikut, tetapi tak perlulah mengeluarkan perkataan yang begitu biadap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Munajat dan Ceramah Mega DUN Rim di Kompleks PAS Kawasan Jasin, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad; Naib Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Wan Saiful Wan Jan serta calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Rim, Datuk Dira Abu Zahar.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi menjelaskan keputusan UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dibuat selepas mengambil kira titah Yang di-Pertuan Agong ketika negara berdepan kebuntuan pembentukan kerajaan.
Katanya, keputusan itu bukan mudah kerana UMNO terpaksa mempertimbangkan prinsip parti yang selama ini menentang kerjasama dengan DAP.
Bagaimanapun, beliau berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akhirnya bersetuju selepas bermesyuarat selama lebih lima jam, dari 8.30 malam hingga 1.38 pagi.
“Kami setuju waktu itu dengan syarat. Syaratnya bertulis, jangan sentuh Islam sebagai agama Persekutuan, jangan sentuh kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta jangan sentuh institusi Raja-Raja Melayu.
“Tetapi hari ini, hari demi hari, dia sudah tunjuk belang,” katanya.
Mengulas perkembangan politik semasa, beliau turut mendakwa ketidaktentuan dalam kepimpinan Pakatan Harapan (PH), khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR), memberi ruang kepada DAP untuk memainkan peranan lebih besar dalam kerajaan.
Beliau turut menyentuh isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan menegaskan bahawa kuasa pengampunan merupakan hak Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, kuasa berkenaan bukan sesuatu yang baharu kerana pengampunan turut diberikan kepada individu lain sebelum ini.
“Datuk Seri Najib bukan diampunkan secara mutlak. Ini hak Yang di-Pertuan Agong, kuasa Yang di-Pertuan Agong.
“Perkara 42 menyatakan Yang di-Pertuan Agong ada kuasa mengampun, mengurangkan dan melewatkan hukuman,” katanya.
Sementara itu, Asyraf Wajdi turut membangkitkan keperluan supaya mandat baharu diberikan kepada rakyat melalui pilihan raya bagi menyelesaikan kemelut politik dan ketidaktentuan pentadbiran negara.
Beliau mendakwa kerajaan ketika ini berdepan pelbagai isu yang belum diselesaikan, termasuk dakwaan berkaitan pengurusan aset Lembaga Tabung Haji (TH).
Justeru, katanya, rakyat perlu diberi peluang menentukan hala tuju kepimpinan negara menerusi pilihan raya.
“Kalau kita nak selesaikan masalah ini, selesaikan dengan biarlah rakyat yang buat keputusan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa penyatuan dalam kalangan parti politik berteraskan Islam dan Melayu penting bagi memastikan kekuatan serta prinsip perjuangan tidak terjejas menjelang pilihan raya akan datang.










