‘Biar Bersatu Hilang Deposit, Bantu Hasil Negara’ – Wan Saiful

JASIN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diharap kehilangan wang deposit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi membantu menyumbang kepada hasil negara.

Naib Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, perkara itu secara sinis dilihat sebagai sumbangan kepada kerajaan ketika negara berdepan kekangan kewangan dan memerlukan dana untuk pembangunan.

Menurutnya, rekod Bersatu pada pilihan raya sebelum ini di Johor dan Negeri Sembilan menunjukkan parti itu gagal mempertahankan deposit bagi kerusi yang ditandinginya.

“Di Negeri Sembilan, semua kerusinya hilang deposit. Di Melaka ini saya harap sangat, dalam keadaan kerajaan duk kata dia tak berapa nak ada duit, kerajaan tak berapa cukup dana, kita bantulah kerajaan ini dengan cara memastikan Bersatu juga hilang deposit, supaya dia boleh kekal menyumbang kepada pembangunan negara dengan cara yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Munajat dan Ceramah Mega DUN Rim di Kompleks Pas Kawasan Jasin di sini pada malam Selasa.

Dalam pada itu, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor mendakwa Bersatu sudah menyimpang daripada matlamat asal penubuhannya apabila didakwa sanggup bekerjasama dengan enam bekas Ahli Parlimennya yang sebelum ini dilabel sebagai pengkhianat kerana menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, tindakan menandatangani dokumen bersama kumpulan berkenaan menimbulkan persoalan mengenai pendirian dan prinsip parti itu.

“Kalau enam orang yang sokong Anwar Ibrahim dulu sebelum ini dia kata pengkhianat, habis yang kau tandatangan hari ini pula apa? Bukan pengkhianat juga?

“Apa nak jadi kepada parti tersebut?” soalnya.

Beliau turut mendakwa terdapat pihak dalam Bersatu yang terlalu mengejar peruntukan sehingga sanggup menggadaikan prinsip parti.

Mengulas mengenai kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Melaka, Wan Saiful berkata, kesepakatan kedua-dua gabungan itu penting bagi memastikan gelombang biru dapat diteruskan.

Menurutnya, kerjasama yang baik mampu meningkatkan keyakinan rakyat berbanding keadaan apabila parti-parti terbabit dilihat bertelagah dan membawa haluan masing-masing.

“Sokongan kepada gelombang biru itu mustahil akan berlaku kalau sekiranya tidak ada kerjasama yang baik antara Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.

“Kalau rakyat tengok kita bertelagah, rakyat tengok kita bawa haluan masing-masing, memang tak pergi ke mana-mana,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa momentum berkenaan mampu diperluaskan ke peringkat nasional menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Dalam ucapannya, Wan Saiful turut meminta jentera parti menyampaikan mesej kepada pengundi bukan Melayu bahawa mereka tidak perlu bimbang sekiranya gabungan berkenaan mengambil alih pentadbiran negeri.

Katanya, kerajaan yang bakal dibentuk akan memastikan keadilan diberikan kepada semua kaum tanpa mengira latar belakang.

“Saya nak bagi tahu, sekiranya kita memegang tampuk pemerintahan, kita berlaku adil kepada semua. Tidak ada penindasan yang berlaku di mana-mana negeri yang kita perintah,” katanya.

Beliau turut membangkitkan isu pencemaran akibat operasi ladang babi di Pulau Pinang sebagai contoh perkara yang menurutnya perlu ditangani secara adil oleh kerajaan negeri.

Wan Saiful mendakwa terdapat perbezaan tindakan kerajaan negeri terhadap ladang babi di kawasan majoriti Melayu berbanding kawasan lain, sekali gus mempersoalkan pendekatan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di negeri itu.

Sehubungan itu, beliau menggesa pengundi supaya memberikan sokongan kepada calon-calon gabungan berkenaan bagi memastikan kestabilan politik dan pentadbiran negeri dapat dikekalkan.

BBerkaitan

Latest articles