Ucapan Tahniah Pengerusi Felda, Adun PAS Perak Mohon maaf

Adun Kubu Gajah Khalil Yahaya memohon maaf selepas laman Facebooknya berkongsi dakwaan yang Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dilantik sebagai pengerusi Felda menggantikan Idris Jusoh.

“Permohonan maaf secara terbuka – hantaran tadi bukanlah dari pihak Adun tetapi admin yang mengelola laman,” kata Adun PAS itu di Facebook.

Semalam, Idris berkata khidmatnya sebagai pengerusi Felda tamat lebih awal iaitu pada 30 Jun ini, berbanding tarikh sepatutnya iaitu Mei tahun depan.

“Saya telah menerima keputusan dari Pejabat Perdana Menteri untuk mengundur diri dari jawatan Pengerusi Felda berkuatkuasa pada 30 Jun.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang telah memberi peluang kepada saya untuk menjawat jawatan ini di bawah kepimpinannya,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Terdahulu, satu poster yang mengucapkan tahniah kepada Kok atas “pelantikannya” ke jawatan itu disebarkan di media sosial.

Felda kemudian menafikan pelantikan itu dengan berkata tiada sebarang pengumuman rasmi berkenaan pengerusi baru Felda setakat ini.

“Sebaran poster adalah tidak berkaitan,” menurut hantaran itu.

Laman Facebook Khalil turut mengongsikan poster tersebut, diiringi kata-kata: “Hari ini dimaklumkan pengerusi Felda telah ditukar ke YB Teresa Kok, menggantikan Idris Jusoh. Selamat berkhidmat.”

tangkap layar dari seorang pengguna facebook mengenai hantaran yang dibuat oleh Khalil Yahaya sebelum ianya diturunkan

Bagaimanapun hantaran itu didapati telah dipadam susulan penafian Felda.

BBerkaitan

Latest articles