Kerajaan Sangkal Laporan Media Asing Mengenai Kenaikan Harga Petrol, Diesel

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini berkata Kabinet belum berbincang mengenai kenaikan harga minyak petrol dan diesel.

Justeru, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan menyangkal laporan media luar kononnya kerajaan telah membuat keputusan untuk mengumumkan kenaikan harga bahan bakar itu.

Beliau berkata mesyuarat Jemaah Menteri belum membincangkan perkara itu termasuk pada minggu lepas.

“Saya meneliti perkara itu dan saya boleh sahkan di sini saya ahli Jemaah Menteri, kita belum bincang perkara ini pun. Jadi, don’t put the cart before the horse atau jangan umum sesuatu perkara itu sebelum Kerajaan umumkan.

“Kita lihat ada beberapa akhbar yang berpangkalan di luar negara telah mendahului proses dan saya harap semua pihak termasuk media mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi,” katanya ketika berucap pada Program Jiwa MADANI di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (P) Al-Mashoor di sini hari ini.

Beliau turut mengingatkan semua media agar tidak membuat laporan berita bersandarkan maklumat daripada sumber yang tidak dapat disahkan atau tidak dikenal pasti.

“Kita lihat bagaimana baru-baru ini Menteri Digital (Gobind Singh Deo) berada di Pulau Pinang pada April lalu, bercakap tentang Digital Nasional Berhad (DNB)… seminggu sebelum itu, ada akhbar dari luar negara yang berkata pelaksanaan rangkaian 5G rosak, punah… seolah-olah semuanya telah diputuskan.

“Seminggu selepas itu, Gobind mengumumkan bahawa Ahli Lembaga Pengarah dalam DNB telah ditambah dan proses itu sedang berjalan. Kedua, pasal isu lesen kasino (diberi di Johor) kononnya akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Justeru, Fahmi berharap Komuniti MADANI dapat membantu menangani isu fitnah dan berita palsu secara lebih terancang.

Beliau juga berharap media, Komuniti MADANI dan kerajaan dapat bekerjasama untuk memastikan maklumat yang sampai kepada rakyat adalah sahih, tepat dan benar sementara menunggu Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia dibawa ke Parlimen.

Semalam, media asing melaporkan bahawa Malaysia akan mengurangkan subsidi bahan api menjelang Jun, satu pembaharuan ekonomi utama yang akan menguji sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan yang diterajui Pakatan Harapan ketika rakyat bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi.

Media terbabit, yang memetik sumber rasmi dan industri, berkata harga diesel akan diapung pada kadar pasaran dalam tempoh beberapa minggu selepas Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini dan ia akan disusuli dengan kenaikan berperingkat petrol dalam kadar runcit.- BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles