Bakar Kucing Hidup-hidup, Remaja 13 Tahun Mengaku Salah

KUALA LUMPUR: Remaja lelaki berusia 13 tahun yang didakwa di Mahkamah Majistret Kajang hari ini atas dakwaan membakar anak kucing hidup-hidup minggu lalu, mengaku salah atas perbuatan tersebut.

Pengakuan dibuat selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz.

Mengikut kertas pertuduhan, remaja itu bersama dua lagi rakan yang masih bebas telah bertindak kejam menyebabkan kesakitan kepada seekor kucing dengan membakarnya di kawasan parkir sebuah blok di Pangsapuri Taman Sri Kenari pada jam 1.08 tengah hari 22 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh didenda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Ketika prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Afiqah Abdul Ghaffar memohon jaminan RM10,000 kerana kesalahan itu membabitkan penganiayaan haiwan dan berkepentingan awam.

Namun ibu kepada pesalah itu memohon ikat jamin dikurangkan kerana dia bekerja di sebuah kilang hanya berpendapatan RM1,500 sebulan.

Selain itu, wanita berkenaan seorang ibu tunggal.

Hakim kemudian menetapkan RM1,000 untuk ikat jamin dengan seorang penjamin.

Majistret menetapkan 27 Jun ini bagi mendapatkan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum menjatuhkan hukuman.

Minggu lepas tular satu rakaman video tiga lelaki yang melepak di tapak parkir motosikal sebuah pangsapuri dengan dua daripada mereka dipercayai menyimbah bahan bakar ke atas anak kucing sebelum menyalakan api.

BBerkaitan

Latest articles