Tun M Seru Pengundi Melayu Tolak Fahaman Parti, Utamakan Calon Melayu

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menyeru orang Melayu supaya menjadikan calon Melayu sebagai pilihan utama pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang tanpa dipengaruhi kesetiaan terhadap mana-mana parti politik atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menerusi sepucuk surat terbuka yang dikongsikan di platform Threads, beliau berpandangan bahawa keputusan yang dibuat oleh pengundi Melayu dalam PRU akan datang bakal menentukan hala tuju negara pada masa hadapan.

Menurut Mahathir, sokongan terhadap calon Melayu perlu diberikan berasaskan kepentingan bangsa dan negara, bukannya kerana pengaruh parti atau kelompok tertentu.

“Kalau kita ingin negara ini terus kekal sebagai Tanah Melayu, undilah calon Melayu tanpa kesetiaan kepada mana-mana parti atau puak NGO.

“Siapa calon Melayu itu akan diberitahu semasa PRU,” katanya.

Beliau turut mendakwa bahawa kesetiaan yang terlalu kuat terhadap parti politik atau mana-mana kumpulan boleh menghakis kepentingan orang Melayu.

Katanya, sekiranya keadaan itu berlaku, orang Melayu berisiko kehilangan kedudukan mereka sehingga akhirnya menjadi bangsa yang tidak lagi mempunyai negara sendiri.

“Jika kesetiaan ini diberi kepada parti atau puak akan hilanglah Tanah Melayu.

“Tanpa Tanah Melayu akan hilanglah bangsa Melayu di dunia ini. Melayu akan jadi bangsa yang tidak mempunyai negara,” katanya lagi.

Kenyataan itu dikongsikan ketika perbincangan mengenai sokongan pengundi Melayu terus menjadi antara fokus utama menjelang PRU akan datang.

BBerkaitan

Latest articles