Tun M Dan Muhyiddin Sama-sama Pengkhianat

KUALA LUMPUR: Setelah saling tuduh-menuduh, kedua-dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah pengkhianat.

Demikian sindir Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi, sambil menambah kedua-duanya adalah pengasas kepada persekongkolan DAP dan sempat ‘mengambil kesempatan’ selama 22 bulan melalui Kementerian Kewangan.

“Mahathir kata, beliau sedia melupakan “pengkhianatan” Muhyiddin supaya Gerakan Tanah Air (GTA) dan Perikatan Nasional (PN) boleh bekerjasama untuk tumbangkan UMNO.

“Muhyiddin tolak tawaran itu dan kata dia bawa Bersatu keluar Pakatan Harapan (PH) demi “agama, bangsa dan negara”.

“Sebenarnya kedua dua mereka pengkhianat. Mereka pengasas persekongkolan dengan DAP dan sempat bermaharajalela selama 22 bulan melalui MOF. Mereka tipu rakyat dengan janji 100 hari,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Tegas Mohd Puad, kerakusan Dr Mahathir dan Muhyiddin dapat dilihat dengan penjualan aset Tabung Haji dan Khazanah Nasional semasa menjadi Perdana Menteri.

Bahkan kedua-duanya menutup mata dalam isu Statut Rom dan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang cuba diratifikasikan, termasuk kehilangan Pulau Batu Putih.

“Mereka berdua menaikkan Tan Sri Tommy Thomas sebagai Peguam Negara. Mereka terpalit dengan pendedahan Tommy Thomas. Rakyat patut menghukum mereka 19 November ini,” katanya.

Semalam Dr Mahathir menegaskan gelaran pengkhianat diberikan kepada Muhyiddin selepas Presiden Bersatu itu didakwanya gila kuasa dan sanggup memecatnya dan beberapa bekas pemimpin Bersatu yang lain selepas enggan menuruti Langkah Sheraton.

Reaksi itu diberikan Pengerusi Pejuang itu selepas Muhyiddin membidas Dr Mahathir yang membuat pusingan-U selepas perancangan keluar dari PH gagal, setelah mendapat sokongan gagasan itu supaya Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri.

BBerkaitan

Latest articles