Rayuan Siti Bainun Ditolak, Kembali Jalani Hukuman Penjara

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak rayuan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali ditolak Mahkamah Tinggi berkaitan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun kerana mengabai serta menganiaya seorang remaja perempuan Sindrom Down dikenali sebagai Bella, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin menolak rayuan Siti Bainun yang mahu mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Kata Noorin, mahkamah tidak terkhilaf dalam menjatuhkan hukuman terhadap perayu tersebut sebelum ini.

Pada 3 Mei 2023, Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi Izraliza telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun selepas mendapati dia bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella yang berusia 13 tahun.

Hukuman itu diperintah untuk dijalani serta-merta selepas menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman.

Siti Bainun kemudian dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara itu.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa yang berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan remaja itu cedera fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini pada Februari hingga Jun 2021.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Selain hukuman penjara, Siti Bainun juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

BBerkaitan

Latest articles