TPM Kepada AS – “Nama Saya Ahmad Zahid Tapi Bukan Pengganas”

 

 

 

KUALA LUMPUR: Menggelarkan seseorang individu yang mempunyai nama Islam sebagai pengganas merupakan satu tafsiran yang salah dan menimbulkan prasangka buruk yang akan membawa kesan mendalam.

 

Tegas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap laporan di Amerika Syarikat (AS) yang mendedahkan lebih 98 peratus nama dalam senarai pemantauan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) terdiri daripada nama orang-orang Islam.

 

“Nama saya Ahmad tapi saya bukan terrorist (pengganas). Ini kerana ibu bapa saya pilih Ahmad sebelum Zahid sebagai nama saya.

 

“Kita menghargai kerajaan AS yang memandang serius isu ini. Polisi kerajaan AS amat jelas dan ia tidak ada prasangka perkauman atau agama yang berbeza.

 

“Saya berpandangan persepsi dan tafsiran yang menjejaskan agama Islam itu perlu dikikis segera,” katanya selepas merasmikan Persidangan Pertubuhan Akademi Kebangsaan Biro Siasatan Persekutuan (FBINAA) Bahagian Asia Pasifik ke-23 diiringi Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain@Abdul Rasid, hari ini.

 

Turut hadir Presiden FBINAA Antarabangsa, Tim Braniff, Penolong Pengarah Divisyen Operasi Antarabangsa FBI, Raymond P Duda; Duta Besar AS ke Malaysia, Brian D McFeeters dan Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor.

 

Ahmad Zahid merujuk laporan Twenty Years Too Many, A Call to Stop the Secret Watchlist FBI yang memperincikan agensi perisikan di negara itu menggunakan Pangkalan Data Saringan Keganasan yang dikatakan menyasarkan umat Islam.

 

Ia dikeluarkan oleh Council on American-Islamic Relations (CAIR) pada Isnin, lapor Agensi Anadolu.

 

Selepas diberikan senarai FBI versi 2019 oleh penggodam Switzerland yang menemukannya dalam talian berikutan penyiarannya secara tidak sengaja oleh syarikat penerbangan serantau, CAIR menjalankan analisis komprehensif terhadap lebih 1.5 juta nama yang tersenarai.

 

Menurut laporan itu lagi, lebih 350,000 nama termasuk beberapa transliterasi Mohamed atau Ali atau Mahmoud dengan 50 nama yang paling kerap muncul membabitkan nama orang Islam.

 

Daripada entri senarai pantau yang disemak, menganggarkan lebih 1.47 juta daripada nama itu membabitkan orang Islam – lebih 98 peratus daripada jumlah keseluruhan.

 

BBerkaitan

Latest articles