KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin membantah cadangan penjualan Boustead Plantations Berhad (BPlant) kepada sebuah syarikat yang didakwa dimiliki warga asing.
Beliau mendakwa pihaknya menerima maklumat bahawa satu perjanjian penjualan syarikat perladangan itu kepada syarikat milik asing sedang diusahakan secara senyap.
Menurutnya, pembangkang tidak bersetuju sekiranya aset perladangan berkenaan dijual kepada pihak asing kerana ia membabitkan kepentingan negara.
“Rupanya dalam diam-diam hari ini ada perkara lain pula yang berlaku. Boustead sudah pun ada perjanjian.
“Kita dengar daripada burung-burung yang terbang dalam negara kita ini memberitahu bahawa Boustead Plantations ini akan dijual kepada sebuah syarikat yang dipunyai oleh warga asing,” katanya pada sidang media di Parlimen pada Khamis.
Hamzah berkata, pembangkang sebelum ini turut membantah cadangan penjualan aset perladangan BPlant kepada sebuah syarikat tempatan pada 2023.
Beliau berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menyatakan pendirian menentang cadangan penjualan terbaharu itu.
“Yang ini kita ingin persoalkan. Saya nak bagi tahu kepada kerajaan yang ada hari ini, kami pembangkang tidak bersetuju sama sekali.
“Insya-ALLAH kita akan keluarkan satu kenyataan untuk menentang penjualan Boustead Plantations kepada sebuah syarikat yang dipunyai oleh warga asing,” katanya.
Untuk rekod, pada Ogos 2023, Boustead Holdings Berhad dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengumumkan cadangan penjualan 33 peratus dan satu saham Boustead Plantations kepada Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) pada nilai RM1.146 bilion.
Bagaimanapun, cadangan transaksi itu tidak diteruskan dan perjanjian berkenaan ditamatkan pada Oktober 2023.
Boustead Plantations kemudiannya diswastakan oleh LTAT pada Januari 2024.
Perkembangan terbaharu penjualan BPlant kembali menjadi perhatian apabila Achi Jaya Plantations Sdn Bhd dilaporkan dipilih sebagai pembeli pilihan bagi cadangan pengambilalihan syarikat itu, mengatasi bidaan SD Guthrie Berhad dan Tradewinds Plantation Berhad.
Cadangan transaksi itu dilaporkan bernilai kira-kira RM4.3 bilion. Bagaimanapun, LTAT dalam kenyataannya pada 18 November memaklumkan bahawa belum ada perjanjian muktamad ditandatangani.
LTAT turut menjelaskan semua pembida yang menyertai proses berkenaan merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat Bumiputera.










