Tindakan Terhadap Tony Pua, Kita Tunggu Dan Lihat – Mohd Razlan

KUALA LUMPUR: Tindakan yang bakal dikenakan terhadap bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua berhubung pendedahan minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkaitan permohonan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjadi perhatian.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, semua pihak kini menantikan tindakan yang bakal diambil terhadap Pua susulan tindakannya memuat naik dokumen berkenaan menerusi Facebook.

“Kita tunggu dan lihatlah, apa bentuk tindakan yang bakal dikenakan terhadap Tony Pua kerana mendedahkan minit ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Semalam, Pua memuat naik beberapa halaman dokumen yang didakwa merupakan minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke-64 yang berlangsung di Istana Negara pada 18 September lalu.

Dokumen berkenaan mengandungi petikan mengenai pendirian Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh yang dilaporkan membantah pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib.

Bagaimanapun, dokumen yang dikongsikan Pua itu hanya melibatkan beberapa halaman dan bukan keseluruhan minit mesyuarat berkenaan.

Pendedahan tersebut mencetuskan pelbagai reaksi, khususnya berhubung status kerahsiaan dokumen berkenaan serta persoalan mengenai pihak yang bertanggungjawab membenarkan pendedahannya kepada umum.

Isu itu turut mengundang persoalan mengenai tindakan yang boleh diambil terhadap pihak yang mendedahkan dokumen berkenaan, memandangkan ia membabitkan prosiding Lembaga Pengampunan.

BBerkaitan

Latest articles