KUALA LUMPUR: Pengurusan Kuil Sri Maha Mariamman menolak dakwaan kononnya kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron ke rumah ibadat itu pada Isnin, mencemarkan sensitiviti agama Hindu.
Pengerusinya, R Nadarajah, menjelaskan kedua-dua pemimpin bersama delegasi masing-masing tidak memasuki ruang sembahyang utama yang merupakan kawasan larangan bagi individu yang masih memakai kasut.
Sebaliknya, beliau berkata rombongan berkenaan hanya melalui kawasan beranda di bahagian hadapan kuil, berhampiran rajagopuram atau menara pintu masuk utama.
Menurutnya, peraturan menanggalkan kasut hanya dikuatkuasakan bagi mereka yang memasuki sannidhanam, iaitu ruang suci di bahagian dalam kuil.
“Sesiapa pun tidak dibenarkan memasuki ruang suci bahagian dalam dengan memakai kasut. Mereka hanya melangkah masuk ke kawasan beranda luar semasa melalui tempat itu,” katanya.
Penjelasan itu dibuat susulan teguran Persatuan Malaysia Hindu Sangam (MHS) dan Malaysia Hindu Dharma Mamandram yang membangkitkan persoalan mengenai pemakaian kasut oleh kedua-dua pemimpin serta delegasi mereka ketika mengunjungi kuil berkenaan.
Nadarajah turut meminta supaya pekerja kuil yang berada di lokasi ketika kejadian tidak dijadikan sasaran kritikan, memandangkan mereka berhadapan situasi di luar jangkaan dengan kehadiran pegawai keselamatan berpangkat tinggi serta kenamaan asing.
Katanya, pihak pengurusan langsung tidak dimaklumkan mengenai lawatan berkenaan, sekali gus menyebabkan tiada wakil kanan kuil berada di lokasi untuk menyambut rombongan atau memberikan penerangan mengenai tatacara memasuki rumah ibadat itu.
Beliau berkata ketika kunjungan berlangsung, dirinya berada di hospital, manakala setiausaha, bendahari dan pemegang amanah lain juga tidak berada di kuil.
“Kami langsung tidak tahu mereka akan datang. Saya berada di hospital ketika itu, manakala setiausaha, bendahari atau pemegang amanah lain juga tiada di kuil untuk menyambut kehadiran mereka atau memberi nasihat mengenai protokol berkaitan pemakaian kasut,” katanya.
Dalam pada itu, Nadarajah menyifatkan kehadiran Anwar dan Macron sebagai satu penghormatan kepada pihak kuil, selain berharap isu pemakaian kasut itu tidak terus diperbesarkan sehingga menimbulkan polemik yang tidak sepatutnya.
Terdahulu, Anwar membawa Macron melawat beberapa lokasi tumpuan warisan di sekitar Petaling Street, termasuk Kuil Guan Di dan Kuil Sri Maha Mariamman, sempena lawatan rasmi Presiden Perancis itu ke Malaysia.










