Wan Rosdy Persoal Keselamatan Dokumen, Tony Pua Jangan Jadi ‘Kaduk Naik Junjung’

KUANTAN: Pendedahan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bukan sahaja mencetuskan polemik politik, malah menimbulkan persoalan serius mengenai keselamatan dan kerahsiaan dokumen rasmi kerajaan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tindakan bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua, mendedahkan dokumen berkenaan turut dilihat sebagai perbuatan tidak menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong.

Menteri Besar Pahang itu mengingatkan supaya kebebasan dan ruang yang diberikan tidak disalahgunakan sehingga ada pihak bertindak melampaui batas, ibarat ‘kaduk naik junjung’.

“Jangan sampai berlaku keadaan ‘kaduk naik junjung’ apabila kebebasan dan ruang yang diberi disalahgunakan sehingga terlupa akan batas, adab dan tanggungjawab menghormati institusi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan kuasa pengampunan merupakan hak prerogatif Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan tidak seharusnya dijadikan bahan polemik politik.

Mengulas pendedahan itu, Wan Rosdy turut mempersoalkan bagaimana dokumen berkaitan prosiding rasmi Lembaga Pengampunan boleh sampai ke tangan pihak luar dan didedahkan kepada umum.

Beliau menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab serta meneliti prosedur penyahklasifikasian dokumen berkenaan.

Katanya, siasatan juga perlu merangkumi kemungkinan pelanggaran undang-undang berkaitan isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja), selain aspek keselamatan serta kerahsiaan dokumen kerajaan.

Wan Rosdy menegaskan sebarang pelanggaran undang-undang atau prosedur perlu dikenakan tindakan sewajarnya tanpa mengira kedudukan atau latar belakang politik pihak terbabit.

“Perbezaan politik bukan lesen untuk memperlekehkan institusi Raja-Raja Melayu.

“Menghormati Yang di-Pertuan Agong dan menjaga kerahsiaan dokumen kerajaan adalah soal prinsip, kedaulatan undang-undang serta tanggungjawab terhadap negara,” katanya.

Terdahulu, Tony Pua dilaporkan memuat naik beberapa halaman minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP) yang didakwa sudah dinyahklasifikasikan menerusi akaun Facebook miliknya.

Dokumen itu antara lain menunjukkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh membantah cadangan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib.

BBerkaitan

Latest articles