KUALA LUMPUR: Daripada industri getah kepada dunia seni, inovasi berasaskan lateks getah asli Malaysia membuktikan komoditi itu mempunyai potensi jauh lebih luas daripada sekadar menghasilkan produk kegunaan harian.
Keunikan tersebut diperkenalkan menerusi demonstrasi seni catan menggunakan warna poster berasaskan lateks getah asli yang dibangunkan Lembaga Getah Malaysia (LGM) sempena Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP31) di Antalya, Türkiye.
Program Latex Painting Networking Session yang berlangsung di Pavilion Malaysia pada 16 November lalu itu memberi pengalaman berbeza kepada delegasi antarabangsa apabila mereka berpeluang mencuba sendiri inovasi berkenaan menerusi aktiviti melukis.
Bukan sekadar menawarkan pengalaman kreatif, produk itu turut mengetengahkan kelebihan dari segi formulasi apabila tidak berbau serta bebas daripada logam berat.
Malah, gabungan ciri cat air dan cat minyak membolehkan warna poster berkenaan digunakan untuk menghasilkan karya pada pelbagai jenis permukaan.
Pembangunan produk itu memperlihatkan bagaimana penyelidikan terhadap getah asli mampu menghasilkan inovasi di luar kebiasaan, sekali gus membuka peluang penerokaan dalam bidang seni dan industri kreatif.
Pada masa sama, usaha berkenaan menjadi antara pendekatan untuk meningkatkan nilai komersial getah asli menerusi penghasilan produk hiliran yang lebih pelbagai, inovatif dan memenuhi keperluan gaya hidup lestari.
Pendedahan di pentas antarabangsa seperti COP31 juga memberi ruang kepada Malaysia mengetengahkan keupayaan penyelidikan dan inovasi sektor agrikomoditi, selain memperkenalkan potensi baharu getah asli kepada pasaran global.










