Enam Inisiatif Pacu Industri Hiliran Getah, Buka Peluang Pendapatan Baharu

KUALA LUMPUR: Kerajaan mempergiat usaha memperkukuh industri hiliran getah menerusi enam inisiatif utama bagi meningkatkan penggunaan getah asli tempatan, merancakkan inovasi produk serta memperluas peluang pasaran bernilai tinggi.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata pelbagai inisiatif sedang dilaksanakan menerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi memastikan getah tempatan tidak hanya tertumpu kepada pengeluaran bahan mentah, sebaliknya dikembangkan kepada produk hiliran berteknologi tinggi dan mempunyai nilai komersial lebih besar.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Datuk Haji Awang Hashim (PN-Pendang) di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Antara inisiatif berkenaan ialah pembangunan getah asli termaju untuk aplikasi automotif dan kejuruteraan, selain teknologi turapan jalan menggunakan getah (CMB) yang sudah dipindahkan kepada enam syarikat tempatan.

Kerajaan turut memperkenalkan penggunaan galas getah seismik bagi melindungi struktur bangunan daripada gegaran gempa bumi, selain RRIMPAINTâ„¢, iaitu cat berasaskan lateks getah asli yang lebih mesra alam.

Dalam usaha menggalakkan ekonomi kitaran, LGM turut membangunkan teknologi karbon hitam pulih (rCB) menerusi penggunaan semula bahan daripada tayar terpakai.

Satu lagi tumpuan ialah penghasilan produk baharu berasaskan getah, termasuk kulit vegan, produk sukan, kosmetik dan busa getah bagi meneroka segmen pasaran yang lebih luas.

Bagi memastikan teknologi berkenaan dapat dimanfaatkan industri, LGM turut menyediakan khidmat nasihat teknikal, latihan serta pemindahan teknologi kepada pemain industri.

Sementara itu, Majlis Getah Malaysia (MRC) memainkan peranan menyokong pembangunan pasaran dan melahirkan teknousahawan bagi memperluas pengkomersialan produk hiliran.

Pelaksanaan semua inisiatif itu dijangka meningkatkan permintaan terhadap getah asli tempatan, memperkukuh daya saing industri serta mewujudkan sumber pendapatan tambahan kepada pekebun kecil.

Langkah berkenaan juga dilihat sebagai usaha memperluas peranan industri getah dalam rantaian nilai ekonomi negara, khususnya menerusi penghasilan produk inovatif yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.

BBerkaitan

Latest articles