Tidak Masuk Akal PN Terima Sumbangan Politik Dari Syarikat Judi – Hadi Awang

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, mustahil Perikatan Nasional (PN) menerima sumbangan politik daripada tauke dan syarikat judi.

Sedangkan, kata Hadi, parti itu agresif mahu menutup syarikat perjudian, malah pernah dituduh sebagai Taliban.

Bukan itu sahaja katanya, saham syarikat perjudian itu jatuh menjunam setelah mendapat maklumat kemaraan PN yang hampir membentuk kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu, menggambarkan seolah-olah sentimen syarikat berkenaan terhadap PN tidak baik.

“Hanya akal yang berpusing sahaja boleh menerima tuduhan yang mengatakan bahawa tauke dan syarikat judi menyumbang kepada Perikatan Nasional (PN), sedangkan sahamnya jatuh menjunam setelah mendapat maklumat kemaraan PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu.

“Sahamnya hanya naik semula, apabila Pakatan Harapan (PH) mendapat kuasa secara luar biasa daripada amalan demokrasi yang bersih.

“Diikuti pula dengan pembentukan kabinet yang tidak bersih, kerana telah melibatkan bekas banduan walaupun telah diampun, kluster mahkamah yang belum selesai perbicaraannya, pemberi dan penerima rasuah serta golongan penipu yang selari dengan kemahuan tauke dan syarikat judi,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, sangat bodoh jika tauke judi menyumbang dana kepada pihak yang paling agresif merobohkan pusat judi dengan ganas.

“Hal ini bermakna tauke judi itu sangat bodoh, walaupun pandai menipu dan paling banyak menyumbang rasuah kepada penerima rasuah yang ditarik bergabung dengan bekas banduan kluster mahkamah, sehingga menjadi penyokong kuat PH bagi menubuhkan kerajaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Hadi berkata apabila PAS mentandbir Kelantan, kerajaan negeri mengambil langkah menutup tempat perjudian yang diharamkan Islam dan diadakan dialog dengan para pemimpin semua agama.

Katanya, mereka memaklumkan bahawa judi turut diharamkan oleh semua agama.

“Selepas itu, kami menghadapi masalah apabila bidang kuasa kerajaan negeri hanya terhad kepada premis perjudian.

“Adapun lesen kebenaran berjudi adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan, dan Menteri Kewangan pada masa itu ialah Perdana Menteri sekarang yang dilantik oleh PH, merangkap Menteri Kewangan juga.

Jelas Hadi, apabila kerajaan PAS Negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah menutup premis perjudian dan lain-lain di bawah bidang kuasanya, tindakan itu mendapat protes daripada parti komponen PH, walaupun dalam perkara yang hanya berkait dengan hak umat Islam.

Tambah beliau, lebih malang apabila mereka yang berwajah Islam dalam PH diam membisu.

“Pepatah Melayu ada menegaskan, “Kalau rumah berdinding kaca jangan dikacau rumah orang lain, nanti kalau dibalas maka berkecailah dinding rumah kamu itu.

“Mereka juga boleh melakukan dengan cara menipu orang-orang yang sangat bodoh, khususnya melalui media yang boleh melariskan penipuan itu, laksana penjual ubat yang boleh menjual biji-biji tahi kambing, jika pandai mensyarahkannya maka boleh ditafsirkan menjadi majun yang laris dijual,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles