Tiada Keperluan Merayu Kepada Entiti Yang Sama – KJ

KUALA LUMPUR: Selagi mereka yang memecatnya kekal dalam kepimpinan Majlis Kerja Tertinggi UMNO, bekas ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin menegaskan beliau tidak akan merayu terhadap pemecatannya daripada parti itu.

“Merayu bermakna merayu kepada entiti sama yang memecat saya serta-merta.

“Saya hanya mahu pertandingan secara terbuka untuk (dua) jawatan tertinggi susulan prestasi buruk UMNO pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang lalu,” katanya dalam program Breakfast Grille bersama BFM hari ini.

Dalam masa yang sama, bekas Ahli Parlimen Rembau itu memberitahu dirinya tidak berdendam dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan masih menganggapnya sebagai rakan.

Menerusi wawancara yang sama, Khairy mempertahan tindakan mengkritik kepimpinan UMNO sepanjang berkempen Pilihan Raya Umum ke-15, dengan alasan ia untuk meyakinkan pengundi terhadap parti itu.

Namun begitu Khairy menyifatkan tuduhan dibuat terhadapnya sehingga dipecat daripada UMNO sebagai tidak adil.

Khairy menambah, beliau tidak mahu pengundi hilang harapan terhadap UMNO berikutan di kawasan bandar sokongan terhadap UMNO semakin merosot.

Katanya, kenyataan dalam kempen pilihan raya itu adalah satu mesej yang positif yang disampaikan bagi meraih sokongan pengundi dan mengembalikan kredibiliti UMNO.

“Saya tidak nampak bagaimana mesej positif seumpama itu bertujuan memahamkan orang ramai mengenai UMNO dan memulihkan keyakinan umum kepada kredibiliti parti dianggap satu yang negatif.

“Saya tidak merasakan tuduhan yang dikenakan adil sama sekali apabila saya cuba menyatakan UMNO dapat memberikan sesuatu yang lebih baik pada masa depan dan memberitahu saya sebagai generasi baharu parti bakal mengubah dan membuat reformasi kepada UMNO,” tambahnya.

Khairy dipecat daripada UMNO pada Jumaat lalu dalam mesyuarat yang dilakukan oleh Majlis Kerja Tertinggi yang dipengerusikan oleh Ahmad Zahid.

BBerkaitan

Latest articles