MCA Dakwa BN Melaka Langgar Konsensus, Tolak Keputusan Agihan Kerusi Tanpa Rundingan

KUALA LUMPUR: MCA mendakwa semangat konsensus dalam Barisan Nasional (BN) telah dilanggar susulan tindakan BN Melaka mengumumkan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tanpa rundingan dan persetujuan parti itu.

Menerusi kenyataan media hari ini, MCA menegaskan keputusan berhubung agihan kerusi yang dibuat tanpa perbincangan terlebih dahulu dengan parti komponen BN itu sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima.

MCA turut mendakwa pengumuman calon pada majlis malam 24 Oktober lalu dibuat secara mengejut, meskipun Presidennya, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong, dimaklumkan sehari sebelum itu bahawa majlis berkenaan hanya melibatkan pelancaran jentera pilihan raya BN tanpa pengumuman calon.

Menurut kenyataan itu, Setiausaha Eksekutif BN, Datuk Mohamad Sahfri, mengesahkan perkara berkenaan kepada Wee pada 23 Oktober, jam 9.33 malam.

Sehubungan itu, MCA menegaskan pendiriannya untuk mempertahankan prinsip, maruah dan hak parti, selain mengingatkan semua pemimpin serta parti komponen BN supaya menghormati semangat konsensus yang menjadi asas penubuhan gabungan itu.

Dalam perkembangan sama, kesemua enam bahagian MCA di Melaka dilaporkan sebulat suara menyokong keputusan muktamad kepimpinan pusat parti berhubung isu berkenaan.

Dua penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Wira Lim Ban Hong dan Datuk Ngwe Hee Sem, turut menyatakan persetujuan untuk akur kepada keputusan parti serta terus bersama MCA dalam mempertahankan hak dan maruahnya.

BBerkaitan

Latest articles