LUMUT: MyFundAction dengan kerjasama Pertubuhan Hardy Malaysia menyantuni 10 keluarga terjejas banjir di Pulau Pangkor menerusi Misi Kemanusiaan Pangkor 2026 yang berlangsung pada 22 hingga 23 Okt lepas.
Misi itu bertujuan meninjau keadaan penduduk, mengenal pasti keperluan asas keluarga terjejas serta merancang penyaluran bantuan susulan yang bersesuaian.
Pengerusi Pertubuhan Hardy Malaysia Lt Kol Bersekutu (PA) Shazwan Hardy Kusnondar berkata bantuan awal yang disalurkan merangkumi bakul makanan, kit kebersihan dan barangan keperluan rumah.
Beliau berkata keluarga yang disantuni termasuk isi rumah yang mempunyai ramai anak, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan warga emas.
Tinjauan berkenaan turut menjadi langkah awal untuk mengenal pasti keperluan jangka panjang penduduk, khususnya keluarga yang berdepan kekangan mendapatkan barangan keperluan rumah.
Sebanyak 529 keluarga daripada empat kampung dikenal pasti terjejas, iaitu Kampung Sungai Pinang Besar melibatkan 62 keluarga, Kampung Teluk Kecil (55 keluarga), Kampung Teluk Gedung (12 keluarga) dan Kampung Masjid (400 keluarga).
Misi itu dilaksanakan dengan kerjasama CDA APM Briged Kazuko, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Manjung menerusi Unit Penyelamat Pantai serta komuniti setempat.
Dalam perkembangan berkaitan, MyFundAction bersama Pertubuhan Hardy Malaysia turut menyerahkan sumbangan bernilai RM3,078 kepada APM Negeri Perak pada 23 Okt lepas bagi menyokong kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut 2026/2027.
Sumbangan itu merangkumi pek makanan sedia dimakan (Ready-to-Eat atau RTE), Meal-Ready-to-Eat (MRE) dan kit kebersihan untuk membantu memenuhi keperluan asas anggota ketika operasi kecemasan dan bencana.
Penyerahan di Pejabat APM Negeri Perak itu diketuai Ketua Operasi MyFundAction Mohammad Faiz Md Danuri, diiringi Shazwan dan wakil CDA APM Briged Kazuko.
Sumbangan berkenaan diterima Pegawai Operasi dan Latihan APM Perak Kapten (PA) Mohd Nooryusri Md Jusoh.
Inisiatif itu mencerminkan kerjasama antara pertubuhan kemanusiaan dan agensi penyelamat dalam memperkukuh kesiapsiagaan bencana serta membantu komuniti terjejas.










