PN Ambil Tindakan Tatatertib Terhadap BERSATU

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) memutuskan untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) susulan dakwaan parti itu melakukan tindakan yang bertentangan dengan kepentingan gabungan berkenaan.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN yang dipengerusikan Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Pejabat Agung Pas, di sini pada malam Sabtu.

Menurutnya, tindakan berkenaan dibuat berdasarkan Fasal 15 Perlembagaan PN yang memberi kuasa kepada Majlis Tertinggi untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana parti anggota yang melakukan perkara bertentangan dengan kepentingan gabungan itu.

Beliau berkata, tindakan yang boleh dikenakan termasuk memberikan amaran, menggantung keanggotaan atau memecat parti berkenaan daripada PN.

“Perikatan Nasional akan mengambil langkah sewajarnya dalam prosiding tatatertib ini dan pertuduhan yang dirangka akan diserahkan kepada parti anggota berkenaan, iaitu BERSATU.

“Mereka sudah tentu diberikan tempoh masa yang mencukupi untuk menjawab pertuduhan tersebut,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan.

Takiyuddin berkata, antara perkara yang akan dipertimbangkan dalam prosiding itu ialah tindakan yang didakwa bertentangan dengan kepentingan PN, termasuk keputusan BERSATU untuk bertanding menggunakan logonya sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, beliau berkata, bentuk tindakan tatatertib yang bakal dikenakan masih belum diputuskan kerana ia bergantung kepada tahap keseriusan pertuduhan yang dikemukakan.

“Fasal 15 ini membolehkan kita memberikan amaran, menggantung atau memecat. Pilihan tindakan bergantung kepada beratnya pertuduhan,” katanya.

Dalam pada itu, Takiyuddin menjelaskan, keputusan mengambil tindakan tatatertib terhadap BERSATU dibuat selepas PN sebelum ini berdepan isu berkaitan aduan parti itu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Menurutnya, BERSATU membuat aduan kepada ROS berhubung keputusan PN yang tidak menjemput wakil parti itu menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi pada 16 Julai lalu.

Beliau berkata, keputusan tidak menjemput BERSATU ketika itu dibuat atas beberapa pertimbangan, termasuk isu dalaman parti berkenaan yang didakwa boleh menimbulkan persoalan mengenai kesahan keputusan mesyuarat.

Katanya, PN sebelum itu meminta penjelasan daripada BERSATU berhubung isu berkenaan bagi mengelakkan sebarang pertikaian terhadap keputusan yang dibuat oleh gabungan itu.

Takiyuddin turut menjelaskan bahawa PN mengambil pendekatan sama terhadap Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) pada Januari lalu ketika parti itu berdepan masalah dalaman.

Bagaimanapun, beliau berkata, MIPP tidak membuat aduan kepada ROS dan kembali menghadiri mesyuarat selepas menyelesaikan masalah berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Takiyuddin berkata, PN kini kembali menjalankan aktivitinya seperti biasa selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Oktober lalu membenarkan penangguhan pelaksanaan tiga tindakan ROS terhadap gabungan itu.

Beliau berkata, tindakan berkenaan merangkumi notis tunjuk sebab, penggantungan aktiviti dan pembatalan pendaftaran PN.

Susulan keputusan mahkamah itu, katanya, PN memutuskan untuk menggunakan logo gabungan berkenaan pada PRN Melaka, manakala jumlah kerusi yang akan ditandingi serta calon yang bakal diketengahkan akan diputuskan dalam mesyuarat akan datang.

Pada masa sama, Takiyuddin memaklumkan bahawa Ketua Pengarah ROS dan Menteri Dalam Negeri telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan pada 23 Oktober lalu.

Menurutnya, pengurusan kes rayuan itu ditetapkan pada 30 Oktober ini, sehari sebelum penamaan calon PRN Melaka.

BBerkaitan

Latest articles