MELAKA: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, menggesa jentera parti melancarkan gerak kerja lebih agresif di media sosial bagi menghadapi dakwaan serangan peribadi terhadap calon dan pemimpin gabungan itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Beliau mendakwa pihak lawan yang gagal mencari kelemahan pentadbiran BN di Melaka kini beralih kepada isu peribadi untuk menjatuhkan imej pemimpin parti.
Menurutnya, beliau sendiri mula menjadi sasaran apabila isu lama berkaitan hal peribadinya kembali tersebar di media sosial sejak kebelakangan ini.
Malah, Ab Rauf menjangkakan calon BN, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, turut berdepan serangan seumpama itu selepas ini.
“Justeru, orang Duyong, orang Telok Mas jangan leka. Kita bela calon kita, kita bela pemimpin kita, kita serang mereka balik,” katanya ketika melancarkan jentera pilihan raya BN Parlimen Kota Melaka di Alai, malam tadi.
Beliau turut mengingatkan jentera parti supaya tidak hanya bergantung pada kempen bersemuka, sebaliknya memanfaatkan media sosial untuk menjawab dakwaan dan menangkis serangan terhadap BN.
Katanya, penggunaan telefon bimbit yang meluas menjadikan platform digital antara medan penting untuk mempengaruhi persepsi masyarakat sepanjang kempen pilihan raya.
“Masuklah media sosial, jawab, lawan, serang. Gunakan kemudahan teknologi untuk mempertahankan pemimpin dan parti kita,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ab Rauf berkata BN akan memperkukuh strategi mendekati pengundi melalui Jalinan Rakyat (JR) Digital sebagai pelengkap kepada pendekatan bersemuka.
Beliau berkata, pelaksanaan strategi itu akan diperincikan kepada jentera parti bagi memastikan usaha mendekati pengundi dan menyampaikan maklumat dapat dilakukan dengan lebih berkesan.
Pelancaran jentera itu turut dihadiri Mohd Noor Helmy, yang juga calon DUN Telok Mas dan Duyong, Pengerusi MIC Melaka, Datuk VP Shanmugam serta Pengerusi MCA Parlimen Kota Melaka, Datuk Gan Tian Loo.










