Tiada Jemputan Automatik Untuk Bekas PM Sejak 2018, Kata Kementerian Komunikasi

PUTRAJAYA: Bekas perdana menteri tidak lagi secara automatik menerima jemputan ke Sambutan Hari Kebangsaan sejak 2018, kata Kementerian Komunikasi.

Bagaimanapun, kementerian menegaskan kehadiran mana-mana bekas pemimpin ke sambutan berkenaan tidak dihalang, sebaliknya boleh diuruskan melalui permohonan pihak berkenaan mengikut tatacara serta pengurusan jemputan rasmi yang ditetapkan.

Penjelasan itu dibuat susulan persoalan mengenai kehadiran bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, pagi semalam.

Kehadiran Dr Mahathir, yang hadir menggunakan kerusi roda, menarik perhatian orang ramai dan menjadi tumpuan di media sosial.

Dalam satu kenyataan, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kebangsaan, berkata pihak urus setia sebelum ini menerima makluman daripada Pejabat Perdana Menteri bahawa Dr Mahathir dijadualkan berada di luar negara dari 28 hingga 31 Ogos.

“Sehubungan itu, pihak urus setia tidak menerima sebarang permohonan daripada pihak Dr Mahathir untuk menghadiri sambutan berkenaan,” katanya.

Menurut kementerian, bagaimanapun, keadaan itu tidak bermakna bekas perdana menteri atau mana-mana bekas pemimpin tidak boleh menghadiri sambutan Hari Kebangsaan.

Kehadiran mereka tetap boleh diuruskan menerusi permohonan kepada pihak urus setia, tertakluk kepada tatacara dan pengurusan jemputan rasmi yang ditetapkan.

Sementara itu, anak Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, sebelum ini turut berkongsi gambar bapanya menghadiri sambutan berkenaan menerusi Facebook.

Perkongsian itu disertakan kapsyen ringkas: “Tiada jemputan? Tiada masalah, demi Malaysia!”

Kehadiran Dr Mahathir pada sambutan kali ini turut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial, khususnya selepas gambarnya berada di Dataran Putrajaya tular sejak pagi tadi.

BBerkaitan

Latest articles