KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini dimaklumkan bahawa Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz bakal tampil sebagai saksi pendakwaan seterusnya dalam kes rasuah membabitkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perkara tersebut dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, kepada Hakim Noor Ruwena Nurdin ketika prosiding berlangsung hari ini.
Menurut beliau, Tengku Zafrul dijadual memberi keterangan pada 6 Julai depan.
Bagaimanapun, peguam bela Muhyiddin, Amer Hamzah Arshad, memaklumkan pihak pembelaan masih belum menerima kenyataan saksi berkenaan.
“Kami masih belum menerima kenyataan beliau dan saya difahamkan dokumen itu agak panjang,” katanya di mahkamah.
Sebagai respons, pihak pendakwaan memberi jaminan kenyataan saksi itu akan diserahkan kepada pasukan pembelaan selewat-lewatnya pada 19 Jun.
Tengku Zafrul sebelum ini memegang jawatan Menteri Kewangan ketika Muhyiddin menerajui kerajaan Persekutuan dari Februari 2020 hingga Ogos 2021.
Dalam perkembangan sama, mahkamah turut menegur pihak pendakwaan selepas memohon penangguhan prosiding esok atas alasan seorang saksi daripada Jabatan Kerja Raya bercuti sempena Aidiladha.
Hakim Noor Ruwena menegaskan kes berprofil tinggi seperti itu perlu diberi keutamaan dan diselesaikan tanpa kelewatan.
“Saya harap kes ini diberi keutamaan seperti kes lain. Orang ramai memerhati dan ia perlu diberi perhatian serius.
“Saya pasti Tan Sri Muhyiddin juga mahu kes ini diselesaikan segera kerana jika berlarutan, ia akan menjejaskan pergerakannya,” katanya sambil mengingatkan pihak pendakwaan supaya menutup kes sebelum 14 September.
Setakat ini, seramai 10 saksi pendakwaan sudah dipanggil memberi keterangan sejak perbicaraan bermula Mac lalu, manakala kira-kira 20 lagi dijangka tampil sebelum September.
Terdahulu, saksi pendakwaan ke-10 yang juga Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), R Harshini, mengesahkan rekod korporat empat syarikat yang dikaitkan dalam kes berkenaan, iaitu Mamfor Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Sutracom Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd.
Muhyiddin, 78, kini berdepan tujuh pertuduhan berkaitan program Jana Wibawa yang diperkenalkan ketika pandemik Covid-19 bagi membantu kontraktor Bumiputera.
Beliau didakwa menyalahgunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti Bersatu daripada beberapa pihak termasuk Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan seorang ahli perniagaan, Azman Yusoff.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.
Selain itu, Ahli Parlimen Pagoh tersebut turut berdepan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM200 juta yang didakwa dimasukkan ke akaun Bersatu menerusi AmBank dan CIMB Bank antara Februari 2021 hingga Julai 2022.










